Suu Kyi dipenjara 6 tahun kerana rasuah

Suu Kyi dipenjara 6 tahun kerana rasuah

Pemimpin berusia 77 tahun itu didakwa dengan sekurang-kurangnya 18 tuduhan yang keseluruhannya membawa hukuman maksimum penjara hampir 190 tahun.

Aung San Suu Kyi sedang menjalani hukuman penjara 11 tahun bagi kes lain. (Gambar Reuters)
NAYPYITAW:
Mahkamah Myanmar memerintahkan Aung San Suu Kyi dipenjara enam tahun hari ini selepas didapati bersalah atas empat tuduhan rasuah.

Menurut sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai kes itu, pemimpin berusia 77 tahun itu didakwa dengan sekurang-kurangnya 18 tuduhan melibatkan rasuah dan salah laku pilihan raya yang keseluruhannya membawa hukuman maksimum penjara hampir 190 tahun.

Suu Kyi yang juga pemenang anugerah Nobel dan ketua pembangkang kerajaan tentera Myanmar, menyifatkan dakwaan itu tidak masuk akal, selain menafikan semua tuduhan terhadapnya.

Myanmar dalam keadaan terumbang-ambing sejak tahun lalu, apabila tentera menggulingkan kerajaan demokrasi parti Suu Kyi.

Puluhan ribu orang dipenjara dengan ramai daripadanya diseksa atau dibunuh, yang diselar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai jenayah kemanusiaan.

Masyarakat dunia mengenakan sekatan terhadap tentera dan mengkritik perbicaraan rahsia dilaksanakan terhadap Suu Kyi sebagai sandiwara semata-mata.

“Ia serangan besar-besaran terhadap hak asasinya, dan sebahagian daripada kempen untuk menguburkan beliau dan NLD (parti Liga Demokrasi Kebangsaan pimpinan Suu Kyi) selama-lamanya,” kata Timbalan Pengarah Asia Human Rights Watch, Phil Robertson.

Jurucakap kerajaan tentera Zaw Min Tun tidak dapat dihubungi untuk komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.