
Letupan berlaku kira-kira 40km dari Reykjavik berhampiran Gunung Berapi Fakgradalsfjall di barat daya Iceland yang memuntahkan magma selama enam bulan antara Mac hingga September 2021.
Letupan tahun lalu itu mudah diakses pejalan kaki malah menyaksikan kehadiran lebih 435,000 pelancong. Bagaimanapun letupan terbaru kali ini lebih sukar didekati dengan pengunjung perlu mendaki kira-kira 90 minit dari tempat meletak kereta terdekat.
Namun itu tidak mematahkan semangat lebih 1,830 orang yang melawat kawasan itu pada hari pertama letupan, lapor Lembaga Pelancongan Iceland. Lebih ramai pengunjung turut dilihat mendaki ke lokasi berkenaan awal hari ini.
Pelancong dari Amerika, Hather Hoff, 42, mengakui memang sudah lama menyimpan hasrat mahu menyaksikan kejadian seperti itu.
“Saya terduduk dan menangis kerana ia begitu cantik dan mencetuskan emosi. Inilah kuasa sebenar planet kita,” katanya.
Warga Jerman, Anita Sauckel, 40, berkata beliau melawat lokasi letupan tahun lalu dan tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan kejadian kali ini.
Rekahan itu dianggarkan sepanjang 360m, lapor Pejabat Kaji Cuaca Iceland dan memuntahkan lahar setinggi 10m-15m.
Letupan pada Rabu itu didahului aktiviti seismik kuat dengan kira-kira 10,000 gempa dikesan sejak Sabtu termasuk dua dengan magnitud sekurang-kurangnya 5.0.
Kekerapan gegaran berkurangan selepas magma dilepaskan.
Pihak berkuasa sebelum ini memberi amaran supaya orang ramai tidak mengunjungi lokasi itu sehingga penilaian tahap bahayanya dilakukan. Bagaimanapun Jabatan Perlindungan Awam dan Pengurusan Kecemasan berkata hanya kanak-kanak kecil perlu mengelak lokasi itu.