Abe ditembak ‘tindakan ganas tak masuk akal’, kata PM Singapura

Abe ditembak ‘tindakan ganas tak masuk akal’, kata PM Singapura

Lee Hsien Loong berkata beliau “sangat terkejut" dengan berita Shinzo Abe ditembak dalam satu insiden di Wilayah Nara pagi ini.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bersalaman dengan bekas perdana menteri Jepun, Shinzo Abe, pada jamuan tengah hari, pada Mei, semasa lawatannya ke Tokyo. (Gambar Facebook Lee Hsien Loong)
SINGAPURA:
Insiden tembakan melibatkan bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe adalah satu “tindakan keganasan yang tidak masuk akal”, kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Dalam kemas kini Facebook, Lee berkata, beliau “sangat terkejut” dengan berita Abe ditembak dalam satu insiden di Wilayah Nara, pagi ini.

“Ini adalah tindakan keganasan yang tidak masuk akal. Abe berada dalam keadaan kritikal dan doktor sedang bertungkus lumus menyelamatkannya,” tulis Lee.

Dilaporkan Abe, 67, berada dalam keadaan kritikal selepas ditembak.

Abe sedang berucap dalam satu kempen politik di wilayah itu dan beliau “ditembak dari belakang”, pelakunya sudah ditahan.

Kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan dan jurucakap kerajaan menyifatkan insiden itu “amat dikesali”.

“Abe ialah rakan baik Singapura. Saya baru sahaja menghadiri jamuan tengah hari pada Mei, semasa lawatan saya ke Tokyo. Ingatan dan doa saya bersama Abe dan keluarganya,” tulis Lee.

Lee turut memuat naik gambar beliau dan Abe ketika melawat Tokyo pada Mei lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.