Suspek tembakan di Illinois hadapi 7 dakwaan membunuh, hukuman penjara seumur hidup

Suspek tembakan di Illinois hadapi 7 dakwaan membunuh, hukuman penjara seumur hidup

Robert Crimo III berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol jika sabit kesalahan atas pertuduhan terhadapnya.

Polis memburu suspek yang melepaskan tembakan pada perarakan Hari Kemerdekaan di Highland Park Isnin lalu. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Lelaki bersenjata yang disyaki terlibat dalam insiden tembakan semasa perarakan sambutan 4 Julai di Illinois menghadapi tujuh pertuduhan membunuh tahap pertama kerana melakukan serangan yang menyebabkan tujuh orang maut, lapor Sputnik.

“Pejabat Peguam Negeri Lake County hari ini mendakwa Robert Crimo III atas tujuh pertuduhan pembunuhan tahap pertama,” kata Peguam Negara Lake County Eric Rinehart semasa sidang akhbar pada Selasa.

Pihak berkuasa berhasrat mendakwa Crimo dengan berpuluh-puluh lagi tuduhan jenayah pada masa hadapan, tambah Rinehart.

Crimo berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol jika sabit kesalahan atas pertuduhan terhadapnya, kata Rinehart.

Semua mangsa adalah penduduk Highland Park berusia antara 35 dan 88 tahun, kecuali seorang dari Mexico, kata Koroner Lake County Jennifer Banek.

Polis berjaya menahan lelaki bersenjata berusia 21 tahun yang dikenali sebagai Robert Crimo III, yang melepaskan tembakan pada perarakan Hari Kemerdekaan di Highland Park dari atas bumbung bangunan berdekatan. Pihak berkuasa berkata, Crimo membeli secara sah senapang AR-15 yang digunakannya dalam serangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.