Maghribi haram filem Britain mengenai anak perempuan Nabi Muhammad

Maghribi haram filem Britain mengenai anak perempuan Nabi Muhammad

Filem ‘The Lady of Heaven’ tidak akan menerima lesen untuk ditayangkan di negara itu.

‘The Lady of Heaven’ didakwa adalah filem pertama mengenai kehidupan anak Nabi Muhammad, Fatimah. (Gambar Facebook The Lady of Heaven)
RABAT:
Maghribi mengharamkan filem dari Britain mengenai anak perempuan Nabi Muhammad, yang menerima kecaman umat Islam di beberapa negara seperti Mesir, Pakistan, Iran dan Iraq kerana disifatkan menghina agama.

“The Lady of Heaven” tidak akan menerima lesen untuk ditayangkan di negara itu, kata Pusat Sinematografi Maghribi (CCM) dalam kenyataan pada Sabtu.

Ini bermakna, filem yang diarahkan oleh Eli King itu dilarang daripada ditayangkan sama ada atas dasar komersial mahupun budaya di negara itu.

Filem drama itu didakwa karya pertama mengenai kehidupan anak perempuan Nabi Muhammad, Fatimah, dan mengaitkan kumpulan Islamic State pada abad ke-21 dan tokoh sejarah Islam Sunni.

CCM membuat keputusan mengharamkan filem itu beberapa jam selepas Majlis Tertinggi Ulama Maghribi, pihak berkuasa agama tertinggi kerajaan, mengecam filem itu.

Dalam satu kenyataan, mereka berkata, filem itu adalah “pemalsuan terang-terangan fakta yang telah dipastikan mengenai sejarah Islam”.

Filem itu dikeluarkan di Britain pada 3 Jun tetapi selepas protes di luar pawagam, rangkaian pawagam kedua terbesar di dunia Cineworld membatalkan semua tayangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.