Syarikat Singapura didakwa kerana eksport wiski, wain ke Korea Utara

Syarikat Singapura didakwa kerana eksport wiski, wain ke Korea Utara

Barangan itu termasuk wiski Chivas Regal dan Johnnie Walker Black Label, vodka Smirnoff dan wain Australia, Chile dan Perancis, bernilai lebih SGD720,000.

Syarikat 123 Holdings didakwa kerana membekalkan minuman beralkohol, termasuk wiski, vodka, dan wain, sebanyak lima kali ke Korea Utara, antara November 2016 dan Julai 2017.
SINGAPURA:
Dua syarikat Singapura didakwa kerana mengeksport wiski, wain dan minuman lain ke Korea Utara, dalam kes terbaru syarikat di negara bandar itu didakwa berdagang secara haram dengan rejim itu.

Pyongyang dikenakan sekatan bertubi-tubi, termasuk daripada Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), berhubung ujian nuklear dan peluru berpandu balistiknya, manakala Singapura menggantung hubungan perdagangan dengan Korea Utara pada 2017.

Syarikat 123 Holdings didakwa pada Rabu kerana membekalkan minuman beralkohol sebanyak lima kali ke Korea Utara, diangkut melalui China, antara November 2016 dan Julai 2017, menurut kertas tuduhan.

Barangan itu, termasuk wiski Chivas Regal dan Johnnie Walker Black Label, vodka Smirnoff dan wain Australia, Chile dan Perancis, bernilai lebih SGD720,000.

Sebuah lagi syarikat, 123 Duty Free, didakwa atas lima tuduhan membekalkan minuman tanpa alkohol, termasuk kopi dan susu strawberi, ke Korea Utara dari April hingga Ogos 2018.

Kedua-dua syarikat berdepan denda yang tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa syarikat dan individu dari Singapura – hab perdagangan dan pusat kewangan utama – didakwa kerana membekalkan barang larangan ke Korea Utara.

Pada 2019, seorang pengarah syarikat perdagangan Singapura dipenjara selama hampir tiga tahun kerana membekalkan barangan mewah bernilai USD4.4 juta, termasuk alkohol dan minyak wangi, ke Korea Utara.

Pada 2016, sebuah syarikat perkapalan di negara bandar itu didenda atas peranannya dalam percubaan menyeludup senjata dan jet pejuang era Soviet dari Cuba ke Korea Utara.

Syarikat itu pada mulanya didapati bersalah atas dua tuduhan, tetapi ia dibebaskan daripada satu tuduhan atas rayuan dan dendanya dikurangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.