
Kebocoran maklumat seperti itu jarang berlaku di republik berkenaan, di mana maklumat sensitif dikawal ketat kerajaan manakala perkhidmatan awam dipandang tinggi.
Namun kes itu antara yang berlaku ketika wabak, apabila kakitangan awam membocorkan maklumat berkaitan Covid-19 kepada keluarga atau rakan mereka sebelum sempat kerajaan mengumumkannya.
Chua Wee Lin, 52, yang ketika itu menjadi penolong pengarah di lembaga perpustakaan kebangsaan, telah membocorkan maklumat mengenai perancangan kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan berkaitan Covid kepada 18 orang lain dalam satu kumpulan sembang WhatsApp. Perbuatannya itu empat hari sebelum kerajaan mengumumkannya pada Jun 2020.
Selepas menghadiri mesyuarat di mana maklumat itu dikongsikan, beliau menghantar pesanan membutirkan tarikh bila kelab rekreasi, panggung wayang dan restoran dibenarkan beroperasi semula selepas sekatan pergerakan separa dilaksanakan di Singapura, menurut dokumen mahkamah.
Beberapa anggota kumpulan sembang itu kemudian mengongsikan maklumat berkenaan dengan keluarga dan rakan mereka, sebelum perkara itu tular dan akhirnya sampai kepada kakitangan di kementerian lain yang membuat laporan polis.
Chua dipenjara empat minggu selepas mengaku salah atas tuduhan salah komunikasi maklumat di bawah akta rahsia rasmi. Kesalahan itu membawa hukuman maksimum denda SGD2,000 (RM6,400) dan penjara dua tahun.
Terdahulu tahun ini, seorang wanita dipenjara 18 minggu kerana membocorkan butiran bilangan kes Covid-19 ketika bekerja dengan kementerian kesihatan negara itu.
Seorang lagi kakitangan kerajaan turut berdepan tuduhan sama kerana membocorkan butiran berkaitan penutupan sekolah kepada suaminya, lapor media tempatan.