12 maut, tembok kilang garam di India runtuh

12 maut, tembok kilang garam di India runtuh

Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan pemberian pampasan 200,000 rupee (RM11,333) kepada keluarga mangsa korban.

Mangsa korban terdiri daripada lima wanita dan tujuh lelaki, manakala seorang lagi dilaporkan cedera dan sedang dirawat. (Gambar AP)
AHMEDABAD:
Sekurang-kurangnya 12 pekerja maut apabila tembok di sebuah kilang pembungkusan garam di Gujarat runtuh semalam.

Punca tembok setinggi 3.6m itu runtuh masih tidak jelas, tetapi polis akan menyiasat pemilik premis terbabit atas faktor kecuaian.

Jurucakap polis, Rahul Tripathi berkata, mangsa korban terdiri daripada lima wanita dan tujuh lelaki, manakala seorang lagi pekerja yang cedera sedang dirawat.

Perdana Menteri India, Narendra Modi yang berasal dari Gujarat menyifatkan tragedi kilang garam Sagar di kawasan perindustrian bandar Havald itu amat memilukan.

“Dalam tempoh berkabung ketika ini, saya berdoa untuk keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang. Semoga mangsa yang cedera akan sembuh secepat mungkin.

“Pihak berkuasa tempatan sedang memberikan segala bantuan yang mampu kepada mereka yang terjejas,” katanya menerusi Twitter.

Modi turut mengumumkan pemberian pampasan berjumlah 200,000 rupee (RM11,333) kepada keluarga mangsa korban.

Insiden di kilang kerap dilaporkan di seluruh India kerana pemilik premis sering beroperasi tanpa permit dan mengabaikan aspek asas keselamatan.

Minggu lalu, 27 individu maut dalam kebakaran di sebuah premis komersial yang menghasilkan penghala Wi-Fi di New Delhi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.