Serangan terhadap hospital, ambulans Ukraine semakin meningkat, kata WHO

Serangan terhadap hospital, ambulans Ukraine semakin meningkat, kata WHO

Agensi itu berusaha keras menghantar bekalan perubatan ke Ukraine yang berdepan kekurangan bekalan oksigen, insulin, pakaian perlindungan diri, peralatan pembedahan dan produk darah.

Orang ramai meniarap di lantai sebuah hospital ketika serangan tentera Rusia di Mariupol pada Jumaat. (Gambar AP)
GENEVA:
Serangan terhadap hospital, ambulans dan kemudahan kesihatan lain di Ukraine meningkat mendadak dalam tempoh beberapa hari lalu, dengan negara itu berdepan kekurangan bekalan perubatan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Agensi PBB itu mengesahkan pada Isnin, sekurang-kurangnya sembilan orang maut dalam 16 serangan terhadap kemudahan penjagaan kesihatan sejak serangan Rusia terhadap Ukraine pada 24 Feb. Ia tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab.

Pegawai Kanan Kecemasan WHO bagi Eropah, Catherine Smallwood memberitahu sidang media bahawa kejadian ini termasuk ambulans yang digunakan untuk tujuan selain kecemasan berkaitan penjagaan kesihatan.

“Kami akan terus mengemas kini bilangan itu, yang meningkat pantas sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Agensi itu berusaha keras menghantar bekalan perubatan ke Ukraine yang berdepan kekurangan bekalan oksigen, insulin, pakaian perlindungan diri, peralatan pembedahan dan produk darah, kata Pengarah Serantau Eropah Hans Kluge dalam sidang media sama.

Bekalan oksigen, vaksin kanak-kanak terutama terhadap polio, dan pakar kesihatan mental antara keutamaan diberikan WHO untuk rantau itu, katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) berkata negara jiran Ukraine yang menerima pelarian dari situ patut memasukkan golongan berkenaan dalam program vaksin terhadap pelbagai penyakit.

Keutamaan wajar diberikan kepada Covid-19 dan polio serta demam campak, kerana kadar inokulasi sedia ada tidak cukup untuk menghalang penularan wabak demam campak, menurut kenyataan ECDC.

“Bersesak dalam pusat perlindungan bom dan penerimaan pelarian berisiko mengakibatkan penularan demam campak, apatah lagi musim bunga menjelang,” kata agensi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.