Kanak-kanak jatuh perigi ditemui meninggal dunia

Kanak-kanak jatuh perigi ditemui meninggal dunia

Rayan Oram yang terjatuh dan terperangkap di dalam perigi sedalam 32m ditemui meninggal dunia oleh pasukan penyelamat, hari ini.

Pasukan penyelamat membawa masuk Rayan ke dalam ambulans selepas berjaya mengeluarkan mangsa dari dalam perigi sedalam 32 meter. (Gambar AP)
RABAT:
Kanak-kanak Maghribi berusia lima tahun, Rayan Oram yang terjatuh dan terperangkap di dalam perigi sedalam 32m ditemui sudah meninggal dunia oleh pasukan penyelamat, hari ini.

“Susulan kemalangan tragis yang mengorbankan nyawa kanak-kanak Rayan Oram, Raja Mohammed VI telah menghubungi ibu bapa kanak-kanak yang maut selepas terjatuh ke dalam perigi,” kata kenyataan Diraja, menurut laporan AFP.

Kanak-kanak malang itu terjatuh ke dalam terowong berkenaan sejak lima hari lalu, memaksa pasukan penyelamat bertungkus-lumus menjalankan operasi menyelamat namun ia berakhir dengan menyayat hati.

Rayan dilaporkan terjatuh ke dalam perigi kosong sedalam 32m berhampiran kediaman keluarganya di kampung Ighrane yang terpencil di wilayah Chefchaouen, Selasa lalu.

Perigi yang terlalu sempit dengan hanya berkeluasan 45cm itu menyukarkan pasukan penyelamat untuk turun menyelamatkan kanak-kanak itu dan terlalu berisiko untuk meluaskan perigi berkenaan, menyebabkan cerun ke dalam bukit terpaksa dibuat bagi menyelamatkan kanak-kanak itu dari bahagian tepi.

Namun, operasi itu menjadi bertambah rumit disebabkan campuran pelbagai jenis batu dan tanah berpasir, sekali gus meningkatkan risiko tanah runtuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.