
Panel itu berkata, wanita hamil patut dibenarkan berkahwin semula tanpa menunggu 100 hari selepas bercerai, seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang semasa.
Adendum yang dicadangkan bagi kanun sivil ini menganggap jika wanita itu berkahwin semula, suami baharunya adalah bapa kepada anak tersebut.
Ini menjadi semakan pertama kepada peruntukan berkaitan dalam kanun sivil yang mula berkuat kuasa pada 1898, ketika Era Meiji.
Menurut peruntukan semasa dalam kanun sivil, bayi yang dilahirkan 200 hari selepas perkahwinan ibunya dianggap anak kepada suami semasa si ibu.
Anak yang dilahirkan dalam tempoh 300 hari selepas perceraian si ibu turut dianggap anak kepada bekas suaminya.
Ini menimbulkan dilema bagi segelintir wanita.
Bagi mengelakkan anak mereka dianggap anak kepada bekas suami, segelintir wanita yang berkahwin semula tidak melaporkan kelahiran anak kepada kerajaan tempatan.
Ini mengakibatkan anak-anak tersebut tidak dimasukkan ke dalam daftar keluarga, atau “koseki”, dan menimbulkan masalah dengan status kewarganegaraan mereka.
Adendum yang kini diusulkan akan menangani isu ini.
Paterniti kepada bayi akan jelas bawah peraturan baharu tersebut walaupun ibunya berkahwin semula dalam tempoh 100 hari selepas pemansuhan tempoh menunggu.
Panel itu juga mengesyorkan memberi ibu dan anak hak untuk menafikan paterniti, satu pilihan yang hanya tersedia buat bapa pada masa ini.
Bawah usul itu, saman penafian paterniti bawah peruntukan ini boleh difailkan dalam tempoh sehingga tiga tahun, berbanding satu tahun mengikut peruntukan semasa.
Di samping itu, panel penasihat menggesa pindaan untuk mencegah penderaan kanak-kanak, termasuk menambah peruntukan bagi menggalakkan penghormatan terhadap kanak-kanak sebagai individu.
Undang-undang Jepun yang lapuk tersebut berulang kali dikritik oleh jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penghapusan diskriminasi terhadap wanita.
Panel itu akan mengemukakan cadangannya kepada Menteri Kehakiman Yoshihisa Furukawa pada 14 Feb.
Kementerian akan berusaha untuk meluluskan pindaan undang-undang berkenaan tahun ini.
Larangan perkahwinan semula yang serupa terhadap wanita telah ditarik balik di negara lain untuk menghapuskan ketidaksamaan jantina.
Denmark, Norway, Sweden dan Finland menghapuskan undang-undang setandingnya pada akhir 1960-an, diikuti oleh Sepanyol pada 1981, serta Perancis dan Korea Selatan pada 2005, menurut kementerian kehakiman dan sumber lain.