
Disoal sama ada Djokovic akan dibenarkan memasuki Sepanyol untuk bertanding sukan itu selepas diusir dari Australia kerana tidak disuntik vaksin Covid-19, Sanchez berkata: “Mana-mana atlet yang mahu bertanding di negara kita mesti mematuhi peraturan kesihatan Sepanyol.”
Canselor Jerman Olaf Scholz yang melawat Sepanyol pada Isnin dan turut bersama Sanchez dalam sidang media itu, turut menegaskan peraturan di setiap negara perlu dihormati.
“Kita semua mesti mematuhi peraturan ini, tidak kira siapapun kita,” katanya.
Djokovic kerap ke Sepanyol dan memiliki kediaman di Marbella, selatan negara itu. Beliau menghabiskan beberapa hari di situ pada hujung Disember dan awal Januari, dengan rakaman video wujud menunjukkannya menjalani latihan di situ.
Peraturan Sepanyol memerlukan seseorang sama ada memiliki sijil vaksin, ujian PCR negatif atau sijil menunjukkan telah pulih daripada Covid. Negara itu turut mengenakan kuarantin ketat terhadap mereka yang sah positif virus itu.
Walaupun vaksinasi tidak diwajibkan di Sepanyol, kadar vaksinasi negara itu antara yang tertinggi di Eropah.