
Australia berdepan kekurangan kit ujian antigen selepas kontak rapat tidak bergejala diminta tidak membuat saringan di hab dibiayai kerajaan, yang ketika ini mengalami kelewatan keputusan ujian untuk beberapa hari.
“Bekalan kit ujian antigen berkurangan di seluruh dunia. Ini bukan sesuatu unik bagi Australia,” kata Morrison katanya kepada stesen radio 2GB hari ini.
“Ia sebahagian daripada pengendalian dan Omicron merosakkan segala-galanya.”
Pengawal selia persaingan Australia hari ini menyuarakan ‘kebimbangan ketara’ mengenai aduan pencatutan harga kit ujian antigen Covid-19 dan cuba mendapatkan maklumat mengenai peningkatan harga daripada pembekal, peruncit dan rangkaian farmasi.
Pengerusi Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC), Rod Sims, dalam kenyataan berkata ketika penularan Covid-19, penetapan harga berlebihan bagi ujian antigen diperlukan untuk mendiagnosis penyakit dan melindungi orang awam, menjadi kebimbangan ketara.
Katanya, terdapat laporan kit ujian dijual sehingga A$500 (RM1,507.53) dalam talian, manakala A$70 (RM211.04) di kedai apabila ia boleh didapati dengan harga sekitar A$10 (RM30.15) di farmasi, minggu lalu.
Morrison, di bawah tekanan mengendalikan wabak Omicron dan tidak mendapatkan bekalan ujian antigen yang mencukupi, awal bulan ini telah bersetuju untuk menyediakan 10 kit percuma untuk mereka yang berpendapatan rendah.
Setiausaha Majlis Kesatuan Sekerja Australia, Sally McManus berkata, berpuluh-puluh kesatuan sekerja akan bertemu pada hari ini untuk menjawab “kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kita selamat”.
Satu tinjauan oleh Institut Australia pada hari Isnin menunjukkan hampir tiga perempat daripada rakyat Australia percaya mereka harus mendapatkan ujian antigen percuma.
Dalam usaha untuk mengurangkan tekanan ke atas hab ujiannya, Victoria mulai Isnin mula melancarkan 3 juta ujian antigen kepada pekerja barisan hadapan dan penduduk yang terdedah, sementara banyak negeri lain menunggu berjuta-juta kit ujian untuk dihantar.
Selepas berjaya membendung virus ketika awal pandemik, Australia telah melaporkan hampir 1.3 juta kes dalam tempoh dua minggu lalu.
Jangkitan harian menurun di negeri paling ramai penduduk di Australia, New South Wales dan Victoria ketika jangkaan gelombang Omicron menghampiri kemuncak di negara itu, tetapi angka kemasukan ke hospital kekal tinggi dengan lebih ramai kes dimasukkan berbanding tempoh lain ketika pandemik.
Hampir 74,000 kes dilaporkan pada hari Isnin, angka terendah dicatatkan dalam seminggu.
Angka harian kebangsaan mencecah rekod 150,000, Khamis lalu, tetapi terus mencatatkan penurunan sejak itu.
Australia ketika ini melaporkan hampir 1.6 juta jangkitan dan 2,691 kematian sejak permulaan pandemik.