
Jangkitan pertama varian Omicron virus korona dikesan di Hong Kong pada hujung tahun lalu, selepas sifar jangkitan selama tiga bulan. Akibatnya pihak berkuasa memperketatkan langkah kuarantin termasuk terhadap kru udara, selain memperkenalkan semula sekatan terhadap pergaulan sosial.
Lebih 40 kes tempatan telah dikesan sejak itu.
Pihak berkuasa berkata, penularan terbaru itu berkemungkinan akibat dua kru Cathay Pacific yang melanggar peraturan duduk di rumah. Syarikat penerbangan itu kini disiasat pihak berkuasa.
Peraturan yang lebih ketat itu menyebabkan Cathay Pacific membatalkan kebanyakan penerbangan penumpang dan kargonya pada Januari. Bulan ini, hanya kira-kira 20% daripada kapasiti kargo prawabak akan dilaksanakan, selain 2% daripada kapasiti penumpang prawabak.
Bercakap di sesi pembukaan sidang Parlimen hab kewangan itu, Lam berkata Hong Kong telahpun melaksanakan langkah ketat terhadap jangkitan import, susulan itu sukar untuk mengetatkan lagi peraturan.
“Kesan dasar kargo ini akan dirasai dalam masa terdekat,” kata Lam kepada Ahli Parlimen. “Kita hampir tiada barangan yang memasuki negara ini melalui laluan udara.”
“Memusnahkan industri ini bukan saja akan memberi kesan terhadap syarikat penerbangan, malah setiap rakyat.”
Lam menjangkakan beberapa barangan putus bekalan atau naik harga, dengan makanan, barangan elektronik dan perubatan antara yang paling teruk terkesan.
Kru udara yang pulang dari penerbangan kini perlu menjalani kuarantin tujuh haria di hotel berbanding perintah duduk di rumah selama tiga hari sebelum ini. Penduduk lain yang pulang ke Hong Kong perlu menjalani kuarantin 21 hari di hotel yang terpilih, dengan kos dibayar sendiri.
Pada Selasa, Lam berkata murid tadika dan sekolah rendah mesti berhenti menjalani kelas secara fizikal mulai Jumaat sehingga selepas cuti Tahun Baharu Cina, awal bulan depan.
Beliau turut memerintahkan siasatan disiplin terhadap 13 pegawai kanan kerajaan yang menghadiri majlis sambutan hari jadi.