
“Setakat 10 Jan, seramai 7,939 orang ditahan,” kata KDN dalam kenyataan sambil memaklumkan beberapa cawangan perkhidmatan keselamatan terbabit dalam penahanan itu.
Hari ini ialah hari berkabung nasional susulan pergolakan terburuk dalam sejarah kemerdekaan Kazakhstan.
Jawatankuasa Keselamatan Nasional dalam kenyataan berkata, negara itu, termasuk kemudahan kerajaan dan tenteranya, di bawah kawalan perkhidmatan keselamatan sepenuhnya.
“Kawasan yang mungkin menjadi tempat persembunyian militan dan perusuh sedang dibersihkan. Bukti aktiviti jenayah sedang dikumpul dan direkodkan,” menurut kenyataan itu.
Kazakhstan mendakwa keganasan itu adalah serangan “kumpulan pengganas” dan mengkritik liputan media asing berhubung insiden itu, yang bermula dengan bantahan terhadap kenaikan harga bahan api di barat republik itu pada awal bulan ini.
Ketika pergolakan, pakatan tentera CSTO yang diketuai Moscow menghantar 2,500 tentera ke negara itu atas permintaan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev.
Pemimpin negara CSTO – sekutu bekas negara Soviet – dijangka mengadakan pertemuan melalui video hari ini, termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin.