
Kazakhstan, negara kaya sumber tenaga yang selama ini dilihat antara negara bekas Soviet paling stabil di Asia Tengah, kini berdepan krisis terbesarnya sejak berdekad lalu selepas bantahan sejak beberapa hari akibat kenaikan harga bahan bakar.
Dalam keganasan terburuk dilaporkan setakat ini, polis berkata puluhan orang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di bangunan kerajaan di Almaty, bandar terbesar negara itu.
“Malam tadi kumpulan ekstremis cuba menyerang bangunan pentadbiran, Jabatan Polis Almaty dan balai polis tempatan. Puluhan penyerang telah dibunuh,” kata jurucakap polis Saltanat Azirbek dipetik agensi berita Interfax-Kazakhstan, TASS dan Ria Novosti.
Video tersebar di media sosial menunjukkan kedai-kedai dijarah manakala bangunan dibakar di Almaty, selain bunyi tembakan senjata api dan jeritan penduduk turut didengar.
Kemelut itu menjadi cabaran besar untuk pentadbiran Presiden Kassym-Jomart Tokayev dan mencetuskan kebimbangan antarabangsa terutama sekutu utamanya Moscow.
Selepas gesaannya supaya rakyat bertenang tidak diendahkan, Tokayev dalam ucapan yang disiarkan pada awal Khamis berkata beliau telah memohon bantuan Organisasi Perjanjian Keselamatan Kolektif yang turut dianggotai lima negara bekas Soviet lain untuk memerangi apa digelarnya sebagai “kumpulan pengganas” yang telah “menerima latihan luar negara”.
Bantahan tercetus di negara dengan 19 juta penduduk minggu ini susulan kemarahan terhadap kenaikan harga LPG yang digunakan secara meluas untuk kereta-kereta di barat negara itu.
Ribuan penunjuk perasaan membantah di Almaty dan wilayah barat Mangystau, kerana menganggap kenaikan harga itu tidak adil.
Setakat lewat Rabu sekurang-kurangnya lapan anggota keselamatan terbunuh dan 317 cedera, kata Kementerian Dalam Negeri dipetik media tempatan.
Keadaan sebenar bagaimanapun tidak jelas apabila komunikasi turut terganggu termasuk terhadap talian internet dan telefon bimbit.
Kerajaan pada lewat Rabu mengisytiharkan darurat di lokasi bantahan akan diperluaskan ke seluruh negara, berkuat kuasa sehingga 19 Jan. Ia termasuk perintah berkurung, selain sekatan terhadap pergerakan dan perhimpunan besar-besaran.