Kes Omicron dikesan di lebih 15 negeri di Amerika Syarikat

Kes Omicron dikesan di lebih 15 negeri di Amerika Syarikat

Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), Dr Rochelle Walensky berkata angka itu dijangka terus meningkat.

Dr Rochelle Walensky bagaimanapun menegaskan, varian Delta masih terus menjadi kes utama Covid-19 di AS. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Varian Omicron Covid-19 dilaporkan dikesan di sekurang-kurangnya 15 negeri di Amerika Syarikat (AS) dan terus menular, menurut Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), Dr Rochelle Walensky.

“Kami sedar berbelas kes telah dikesan dan kami sedang memantau rapi perkara ini. Setiap hari kami mendengar semakin banyak kebarangkalian kes, jadi jumlah itu mungkin akan meningkat,” lapor Sputnik memetik kenyataan Walensky ketika temu bual dengan televisyen ABC menerusi rancangan “This Week” pada Ahad.

Ketua CDC itu bagaimanapun menekankan, bahawa varian Delta masih terus menjadi kes utama Covid-19 di AS.

“Kami mempunyai 90,000 hingga 100,000 ribu kes sehari ketika ini di AS dan 99.9 peratus daripadanya adalah kes membabitkan varian Delta,” kata Walensky.

Pada Jumaat, jumlah kes Omicron di AS meningkat kepada sembilan. Kes pertama varian itu di AS dikesan pada 1 Dis. Omicron mula dikesan di Afrika Selatan pada November lalu.

Pentadbiran Presiden Joe Biden sebelum ini menyatakan Omicron mencetuskan kebimbangan baharu tetapi belum ke tahap mencemaskan.

Menurut pakar Covid-19 Rumah Putih, AS kini berada pada kedudukan lebih baik bagi menangani Omicron berbanding varian Covid-19 yang lain sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.