
Selaras dengan rancangan negara itu untuk memperkasa wanita dalam sektor kehakiman, Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi pada Mac mengarahkan pelantikan hakim wanita di State Council dan bahagian Pendakwa Raya Umum, dua badan kehakiman yang sebelumnya eksklusif untuk hakim lelaki.
Kumpulan pertama anggota wanita di dewan itu merangkumi 48 orang hakim sebagai penolong kaunselor dan 50 orang sebagai naib kaunselor.
“Langkah itu adalah hadiah yang sangat bermakna buat wanita di Mesir,” kata Naib Presiden State Council Taha Karsoua.
Menurut Karsoua, hakim baharu dilantik akan menjalankan tugas yang sama seperti hakim lelaki dalam mengadili dan menyelesaikan pertikaian di semua mahkamah mereka ditugaskan.
State Council, yang ditubuhkan pada 1946, adalah badan kehakiman bebas yang secara eksklusif mengadili pertikaian pentadbiran, kes dan rayuan disiplin, dan pertikaian yang berkaitan dengan keputusannya.
“Saya sangat bangga dilantik sebagai hakim di State Council. Menjadi sebahagian daripada badan pentadbiran kehakiman adalah suatu penghormatan,” kata Reem Moussa, antara hakim yang baru mengangkat sumpah.
Moussa berkata, sebelum ini mustahil bagi seorang wanita dapat menjadi hakim di dewan itu kerana sudah 75 tahun ia dikhususkan untuk hakim lelaki.
“Hari ini adalah kemenangan bagi wanita Mesir, dan pelaksanaan perkara yang menetapkan kesetaraan antara lelaki dan wanita dalam pekerjaan,” katanya kepada Xinhua.
Majlis Nasional Mesir untuk Wanita (NCW) berbangga dengan pelantikan hakim wanita di State Council dan menganggapnya sebagai langkah yang menunjukkan iltizam politik kepemimpinan wilayah itu untuk lebih memperkasakan wanita.
“Impian generasi wanita terdahulu akhirnya menjadi kenyataan,” kata ketua NCW Maya Mursi, sambil menambah, beliau gembira dapat menyaksikan detik bersejarah yang mengangkat martabat wanita Mesir.