5 terbunuh, 2 cedera dalam serangan guna busur dan anak panah

5 terbunuh, 2 cedera dalam serangan guna busur dan anak panah

Antara yang tercedera dalam kejadian di pusat bandar Kongsberg, Norway itu adalah seorang anggota polis berpakaian awam.

Setelah berlaku pergelutan dengan polis, suspek dilaporkan berjaya ditangkap di kawasan yang sama pada hari kejadian. (Gambar AP)
COPENHAGEN:
Lima terbunuh dan dua yang lain cedera, termasuk seorang anggota polis berpakaian awam, dalam serangan oleh seorang lelaki bersenjatakan busur dan anak panah di pusat bandar Kongsberg, Norway semalam.

Kedua-dua mangsa kini dirawat di hospital, menurut maklumat yang disahkan oleh Ketua Polis daerah tenggara Oyvind Aas kepada Perbadanan Penyiaran Norway (NRK).

“Sekitar pukul 18:13 waktu tempatan, polis menerima maklumat mengenai seorang individu yang bersenjatakan busur dan anak panah menyerang orang awam,” lapor Xinhua memetik Aas dalam sidang media sebelumnya.

Menurut ketua polis, setelah berlaku pergelutan dengan polis, suspek ditangkap di kawasan yang sama sekitar jam 18:40 waktu tempatan.

“Berdasarkan maklumat yang kami ada, suspek bertindak sendirian. Berdasarkan kejadian itu, ia wajar dipertimbangkan sebagai serangan pengganas, namun terlalu awal untuk membuat kesimpulan,” kata Aas.

Polis belum dapat menentukan sama ada kejadian itu adalah serangan bermotif pengganas dan masih meneruskan pengawasan di kawasan itu.

Menurut Aas, siasatan mengenai serangan itu masih berjalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.