Lebih 42% penduduk Korea Selatan berusia 30an masih bujang pada 2020

Lebih 42% penduduk Korea Selatan berusia 30an masih bujang pada 2020

Trend ramai orang muda sama ada lambat atau enggan berkahwin berikutan kelembapan ekonomi yang berterusan.

Ramai golongan muda Korea Selatan memilih untuk mengelak daripada tiga tanggungjawab utama kehidupan – berpasangan, berkahwin dan mempunyai anak – disebabkan tidak dapat mencari pekerjaan sesuai di tengah kelembapan ekonomi. (Gambar AP)
SEOUL:
Lebih 42% penduduk Korea Selatan, berusia 30-an masih belum berkahwin tahun lalu dan menunjukkan trend ramai orang muda sama ada lambat atau enggan berkahwin berikutan kelembapan ekonomi yang berterusan.

Daripada 13.7 juta individu bujang berusia 15 tahun ke atas pada tahun lalu, 2.82 juta adalah penduduk berusia 30-an, meningkat daripada 2.68 juta lima tahun sebelumnya, lapor Agensi Berita Yonhap memetik bancian 2020 oleh Statistik Korea.

Peratusan orang bujang berusia 30-an mencapai 42.5% tahun lalu, meningkat sebanyak 6.2% berbanding 36.3% pada 2015.

Ini menandakan kali pertama ia mencecah 40% tertinggi untuk kumpulan umur tersebut.

Berdasarkan jantina, 50.8% lelaki berusia 30-an belum berkahwin, sementara wanita bujang menyumbang 33.6%.

Ramai golongan muda Korea Selatan memilih untuk mengelak daripada tiga tanggungjawab utama kehidupan – berpasangan, berkahwin dan mempunyai anak – disebabkan tidak dapat mencari pekerjaan sesuai di tengah kelembapan ekonomi dan harga rumah yang melambung.

Sehubungan itu, negara itu kini sedang mengalami penurunan berterusan kadar kelahiran anak.

Tahun lalu, kadar kesuburan Korea Selatan bagi purata jumlah anak yang dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya mencapai tahap rendah 0.84, jauh lebih rendah berbanding tahap penggantian 2.1 yang akan menjadikan jumlah penduduk Korea Selatan stabil pada 51 juta.

Statistik itu juga menunjukkan pandemik Covid-19 mungkin mempengaruhi data perkahwinan.

Banci menunjukkan wanita dengan latar pendidikan tinggi kurang berkahwin dengan 22.1% wanita memiliki ijazah sarjana masih bujang tahun lalu.

Jumlah penduduk yang berkahwin adalah 55.9%, dan perceraian mencecah 5.8%, meningkat 0.7% berbanding lima tahun sebelumnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.