Pegawai CIA alami gejala sindrom Havana selepas lawatan ke India

Pegawai CIA alami gejala sindrom Havana selepas lawatan ke India

Menurut laporan, pegawai yang tidak dikenal pasti itu sudah menerima rawatan perubatan.

Kira-kira 200 pegawai AS dan ahli keluarga mereka jatuh sakit akibat sindrom Havana, penyakit misteri dengan gejala migrain, loya, terlupa dan pening. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Seorang pegawai CIA yang bersama Pengarah agensi itu, William Burns ke India bulan ini dilaporkan mengalami simptom sama dengan sindrom Havana, lapor CNN dan New York Times semalam.

Pegawai yang tidak dikenal pasti itu sudah menerima rawatan perubatan, kata sumber dipetik CNN.

Kira-kira 200 pegawai AS dan ahli keluarga mereka jatuh sakit akibat sindrom Havana, penyakit misteri dengan gejala migrain, loya, terlupa dan pening.

Sindrom itu pertama kali dilaporkan pegawai yang berpangkalan di Kedutaan AS di Cuba pada 2015.

Seorang jurucakap CIA dalam kenyataan kepada Reuters berkata, agensi itu tidak mengulas mengenai kejadian atau pegawai tertentu.

“Kami mempunyai protokol untuk individu yang melaporkan kemungkinan insiden kesihatan tidak normal, termasuk menerima rawatan perubatan bersesuaian.”

Bulan lalu, Naib Presiden AS, Kamala Harris menangguhkan ketibaannya di Hanoi selama tiga jam, selepas Kedutaan AS di sana memaklumkan terdapat individu melaporkan insiden kesihatan sama seperti sindrom Havana.

Julai lalu, Burns dilaporkan berkata, beliau melantik seorang pegawai kanan yang pernah mengetuai misi memburu Osama bin Laden untuk menerajui pasukan petugas menyiasat sindrom Havana.

Sebuah panel Akademi Sains Kebangsaan AS mendapati teori paling masuk akal ialah “tenaga frekuensi radio berdenyut, secara langsung” menjadi punca sindrom itu.

Burns berkata, ada “kemungkinan besar” sindrom itu disebarkan secara sengaja dan Rusia mungkin bertanggungjawab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.