
Bintang berusia 80 tahun itu menjalani pembedahan di Hospital Albert Einstein di Sao Paulo pada 4 Sept lalu selepas ketumbuhan berkenaan dikesan ketika menjalani pemeriksaan rutin.
“Pesakit Edson Arantes do Nascimento kini semakin pulih dan memuaskan, beliau sudah sedar dan aktif bercakap dan petunjuk vitalnya kelihatan normal,” kata hospital menerusi buletin perubatan.
Terdahulu, pemenang Piala Dunia sebanyak tiga kali itu, tampil menerusi media sosial mengucapkan terima kasih kepada peminat yang memberikan kata semangat dan mendoakannya sambil menjelaskan kepada mereka bahawa beliau semakin pulih, menurut buletin itu.
“Sahabat, setiap hari yang berlaku, saya berasa semakin baik.
“Saya perlukan beberapa hari lagi untuk pulih. Ketika saya di sini, saya mengambil peluang untuk lebih banyak bercakap bersama keluarga dan berehat,” katanya menerusi Instagram.
Pele bergelut dengan beberapa masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu, dan jarang kelihatan di khalayak selepas menjalani pembedahan pemindahan pinggul pada 2012.