78 maut dalam pertempuran ‘rebutkan’ Marib

78 maut dalam pertempuran ‘rebutkan’ Marib

Pertempuran antara kerajaan Yaman dan pemberontak Houthi yang disokong Iran meningkat sejak beberapa hari lalu.

Seorang mangsa yang parah dalam serangan peluru berpandu dan dron di Pangkalan Udara Al-Anand mendapat rawatan di hospital di Lahj, Yaman, pada 29 Ogos lalu. (Gambar AP)
DUBAI:
Hampir 80 pemberontak dan tentera prokerajaan terbunuh dalam pertempuran di bandar strategik Marib, Yaman, kata sumber tentera.

“Enam puluh pemberontak Houthi terbunuh, kebanyakannya dalam serangan udara dilancarkan dalam 24 jam lalu.

“Seramai 18 tentera prokerajaan pula maut dan puluhan cedera dalam pertempuran sejak 48 jam lalu,” kata pegawai tentera kerajaan.

Angka itu disahkan sumber tentera lain, manakala kumpulan pemberontak jarang melaporkan bilangan kematiannya.

Pertempuran antara kerajaan Yaman yang disokong pakatan tentera diketuai Arab Saudi, dan pemberontak Houthi yang disokong Iran, meningkat sejak beberapa hari lalu di wilayah Marib, kata pegawai tentera yang enggan dinamakan itu.

Katanya, serangan udara turut ditingkatkan di kawasan berkenaan.

Kumpulan pemberontak pada awal Rabu melaporkan pakatan tentera kerajaan telah melancarkan sekurang-kurangnya 30 serangan udara terhadap mereka di sekitar Marib.

“Houthi melancarkan serangan malam tadi dengan pertempuran berlanjutan sehingga awal Rabu,” kata pegawai tentera berkenaan, dengan menambah kumpulan pemberontak itu berjaya dihalang.

Perang antara kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa dan puak Houthi berlaku sejak 2014 apabila kumpulan pemberontak itu merampas ibu negara, Sanaa.

Pada Februari, kumpulan Houthi meningkatkan usaha untuk merampas Marib, kubu terakhir kerajaan di utara negara itu, dalam pertelingkahan yang mengakibatkan ratusan kematian di kedua-dua pihak.

Kawalan terhadap wilayah yang kaya dengan minyak itu dilihat mampu mengukuhkan kedudukan Houthi ketika rundingan damai kelak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.