‘Lockdown’ di sekolah Singapura selepas pelajar maut dalam serangan kapak

‘Lockdown’ di sekolah Singapura selepas pelajar maut dalam serangan kapak

Pelajar dan kakitangan di Sekolah Tinggi River Valley diminta berada dalam kelas sehingga keadaan kembali selamat.

Sebuah van siasatan lokasi jenayah, ambulans dan sekurang-kurangnya empat kenderaan polis dikesan di Boong Lay Avenue, Singapura kira-kira 1 tengah hari tadi, sejam selepas serangan kapak.
PETALING JAYA:
Seorang pelajar Sekolah Tinggi River Valley (RVHS) di Singapura terkorban selepas diserang dalam kampus hari ini, yang turut menyebabkan semua kakitangan dan pelajar diarahkan berada dalam kelas.

Seorang bapa, Jacky Huang, 43, dipetik akhbar The Straits Times berkata, beliau bergegas ke sekolah selepas menerima mesej anak perempuannya memaklumkan seorang individu didakwa bersenjatakan kapak berada di sekolah itu.

Beliau turut menunjukkan pesanan teks penerbitan berita yang dihantar anak perempuannya pada 11.50 pagi tadi dan sebuah video didakwa diambil di sekolah itu, dengan pelajar bertempiaran dari tempat kejadian.

Sebuah van siasatan lokasi kejadian, ambulans dan sekurang-kurangnya empat kenderaan polis dikesan di Boong Lay Avenue kira-kira 1 tengah hari.

Pintu belakang ditutup, tetapi pelajar yang perlu meninggalkan kampus dibenarkan berbuat demikian selepas 2 petang, manakala yang lain berkumpul di dewan sekolah dan diberikan taklimat oleh kakitangan sekolah.

Kakitangan sekolah berkata, waktu rehat sepatutnya pada 1 tengah hari, tetapi pelajar diminta berada dalam kelas mereka tanpa diberikan sebarang penjelasan.

The Straits Times melaporkan ia sudah menghubungi Kementerian Pendidikan, polis dan sekolah itu untuk komen.

Pelajar di RVHS berusia 12 hingga 18 tahun. Sekolah itu menawarkan program bersepadu enam tahun untuk pelajar melangkau peperiksaan O-level dan terus mengambil A-level pada tahun keenam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.