Bekas polis AS dipenjara 4 tahun pukul detektif kulit hitam menyamar

Bekas polis AS dipenjara 4 tahun pukul detektif kulit hitam menyamar

Hakim persekutuan menjatuhkan hukuman itu ke atas Randy Hays yang mengaku bersalah menggunakan kuasa berlebihan dan tidak munasabah pada 2019.

Penunjuk perasaan dan polis bertembung dalam demonstrasi untuk George Floyd di Minneapolis pada Mei 2020. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS) menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada seorang bekas pegawai polis yang didakwa memukul rakan sekerjanya berkulit hitam ketika menyamar sebagai penunjuk perasaan dalam demonstrasi pada 2017.

Menurut dokumen mahkamah, seorang hakim persekutuan pada Selasa menjatuhkan hukuman lebih empat tahun kepada Randy Hays, 34, selepas bekas polis itu mengaku bersalah menggunakan kuasa berlebihan dan tidak munasabah pada 2019.

Hays, bersama bekas polis, Dustin Boone dan Christopher Myers didakwa menjatuhkan pegawai samaran yang sedang mengawasi penunjuk perasaan, kemudian menendang serta memukul mangsa dengan cota polis.

Seorang lagi bekas pegawai polis, Bailey Colletta, dijatuhkan hukuman percubaan selama tiga tahun kerana berbohong kepada juri agung persekutuan semasa siasatan ke atas kejadian itu.

Boone didapati bersalah oleh juri pada Jun dan akan dijatuhkan hukuman pada 15 Sept, tepat empat tahun selepas kejadian itu.

Bantahan berlaku pada pertengahan September 2017 di bandar St Louis, Missouri susulan pembebasan bekas pegawai, Jason Stockley dalam tembakan yang meragut nyawa Anthony Lamar Smith pada 2011.

Kes itu, membabitkan seorang pegawai polis berkulit putih dan mangsa berkulit hitam, antara banyak kes di seluruh AS yang mencetuskan demonstrasi awam, pembaharuan kepolisan dan kemunculan gerakan “Black Lives Matter”.

Respons polis terhadap bantahan sedemikian dikritik secara meluas.

Ketika kejadian, Luther Hall sedang menyamar sebagai penunjuk perasaan untuk mengumpul maklumat, apabila tiga pegawai lain “menghumban (Hall) ke tanah, kemudian menendang dan memukulnya, walaupun beliau patuh dan tidak menimbulkan sebarang ancaman fizikal kepada sesiapa,” menurut kertas pertuduhan itu.

Rakan sejawatannya yang berkulit putih, turut berpakaian biasa, tidak cedera.

Selepas mendapati beliau ialah anggota polis, tiga pegawai lelaki itu membuat kenyataan palsu mengenai kejadian itu “untuk mewajarkan penggunaan kuasa mereka”,” menurut kertas pertuduhan.

Mereka juga cuba menghubungi Hall, seorang veteran dalam pasukan polis St Louis, dalam usaha memujuknya supaya tidak mengambil tindakan undang-undang.

Februari lalu, bandar St Louis bersetuju membayar Hall AS$5 juta untuk menyelesaikan saman sivil itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.