
Lima lelaki dan empat perempuan berusia antara 15 hingga 39 tahun itu ditahan semalam kerana disyaki terlibat dalam “konspirasi untuk menggunakan bahan letupan bagi aktiviti keganasan,” kata polis.
“Kami menjalani operasi semalam terhadap gangster yang cuba menghasilkan letupan TATP di makmal di dalam sebuah asrama,” kata Ketua Superintendan Steve Li, dari unit keselamatan kebangsaan baharu bandar itu.
TATP adalah sejenis letupan berkuasa tinggi.
Menurut polis, sembilan suspek itu anggota kumpulan propembebasan “Returning Valiant.”
Mereka yang ditahan adalah enam remaja dan tiga dewasa yang masing-masing pekerja di universiti tempatan, kakitangan sekolah menengah serta pemandu.
Li berkata, mereka merancang menyerang kemudahan awam termasuk terowong antara pelabuhan, rangkaian kereta api serta bangunan mahkamah untuk “memastikan kerosakan teruk terhadap masyarakat.”
Sentimen antikerajaan meletus pada 2019 ketika protes prodemokrasi yang sering bertukar ganas.
Walaupun keadaan kini semakin stabil, penduduk Hong Kong masih berbelah bagi dengan ramai daripadanya berang dengan pemerintahan Beijing.
Sementara itu polis berkata hasil rampasan termasuk sebilangan letupan, bahan mentah untuk menghasilkan TATP, pistol angin, telefon bimbit, kad SIM, manual mengenai cara menyembunyikan bom serta perancangan untuk meninggalkan bandar berkenaan.
Polis turut menemui wang tunai kira-kira HK$90,000 dan membekukan HK$600,000 di dalam beberapa akaun yang berkaitan.
Sejak dua tahun lalu, polis membuat beberapa tangkapan berkaitan perancangan bom, walaupun tiada serangan berjaya dilaksanakan setakat ini.
Pada April, seorang lelaki berusia 29 tahun dipenjara 12 tahun kerana menghasilkan satu kilogram TATP.