Bapa, anak mengaku salah bantu bekas pengerusi Nissan lesapkan diri

Bapa, anak mengaku salah bantu bekas pengerusi Nissan lesapkan diri

Dua beranak berdepan hukuman penjara kerana membantu bekas pengerusi Nissan Motor Co Ltd lolos dengan bersembunyi dalam kotak.

Mahkamah di Tokyo di mana dua beranak itu dibicarakan. (Gambar AP)
TOKYO:
Seorang lelaki warga Amerika dan anak lelakinya mengaku salah di sebuah mahkamah di Tokyo atas tuduhan membantu bekas pengerusi Nissan Motor Co Ltd Carlos Ghosn lolos dengan bersembunyi dalam kotak yang diletakkan dalam pesawat peribadi pada Disember 2019.

Veteran tentera AS Michael Taylor dan anaknya Peter menjawab ‘tidak’ apabila hakim bertanya sama ada terdapat kesilapan dalam tuduhan yang dikemukakan pejabat pendakwa Tokyo.

Mereka yang diekstradisi ke Jepun dari AS pada Mac lalu ditahan di penjara sama di Tokyo yang sebelum ini turut menempatkan Ghosn. Kedua-duanya berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Pendakwa menuduh mereka membantu Ghosn mengelak hukuman dan meloloskan diri ke Lubnan dari Lapangan Terbang Kansai di barat Jepun dengan upah USD1.3 juta.

Peguam dua beranak itu di AS sebelum ini berusaha keras menghalang mereka diekstradisi ke Jepun atas alasan kedua-duanya tidak boleh didakwa kerana membantu seseorang melarikan diri dari jaminan, selain berkemungkinan diseksa serta disoal siasat.

Ini kerana suspek di Jepun boleh disoal siasat tanpa kehadiran peguam dan sering tidak dibenarkan jaminan sebelum perbicaraan. Kadar sabitan di negara itu juga adalah 99%.

Ketika Ghosn meloloskan diri, dia sedang menanti perbicaraan berkaitan dengan menyatakan jumlah pampasan diterimanya dalam pernyataan kewangan Nissan, selain meraih kekayaan sehingga menjejaskan syarikat itu.

Ghosn yang menafikan tuduhan terhadapnya masih bersembunyi di Lubnan, yang tiada perjanjian ekstradisi dengan Jepun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.