Moderna minta kelulusan suntik vaksin Covid-19 untuk remaja di Kesatuan Eropah, Kanada

Moderna minta kelulusan suntik vaksin Covid-19 untuk remaja di Kesatuan Eropah, Kanada

Firma itu turut merancang untuk memohon kelulusan penggunaan kecemasan dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

Dua dos suntikan Moderna berkesan sekitar 90% untuk melawan gejala Covid-19 dan 95% berkesan terhadap penyakit yang teruk. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Firma bioteknologi Amerika Syarikat, Moderna berkata pihaknya sedang memohon kelulusan bersyarat untuk penggunaan vaksin Covid-19 kepada remaja di Kesatuan Eropah dan Kanada, sebagai galakan kempen vaksinasi berikutan musim panas bermula.

Katanya, firma turut merancang untuk memohon kelulusan penggunaan kecemasan dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA), di mana suntikan Pfizer-BioNTech sudah diberikan kepada remaja berusia 12 tahun ke atas.

“Kami sukacita mengumumkan bahawa kami sudah menghantar (permohonan) untuk mendapatkan kelulusan pemasaran bersyarat mengenai vaksin Covid-19 kami dengan Agensi Ubat Eropah untuk digunakan pada remaja di Kesatuan Eropah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel.

“Kami digalakkan bahawa vaksin Moderna Covid-19 sangat berkesan untuk mencegah jangkitan Covid-19 dan SARS-CoV-2 pada remaja,” katanya, menurut laporan AFP.

“Kami telah memohon kebenaran dengan Kanada dan kami akan memohon kebenaran untuk penggunaan kecemasan dengan FDA AS dan agensi pengawalseliaan di seluruh dunia untuk populasi orang muda yang penting ini.”

Remaja kurang rentan terhadap Covid berbanding golongan warga emas, dan alasan utama untuk memvaksinasi mereka adalah untuk mengawal penularan jangkitan.

Dua dos suntikan Moderna berkesan sekitar 90% untuk melawan gejala Covid-19 dan 95% berkesan terhadap penyakit yang teruk.

Bulan lalu, Akademi Pediatrik Amerika menyeru kebenaran pemberian vaksin Pfizer untuk remaja sebagai strategi memastikan sekolah dapat kembali beroperasi secara fizikal pada musim gugur ini.

Moderna meminta persetujuan penuh vaksinnya untuk orang dewasa di AS, mengikuti jejak Pfizer-BioNTech.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.