Menteri Saudi pertahan perintah hadkan kelantangan pembesar suara masjid

Menteri Saudi pertahan perintah hadkan kelantangan pembesar suara masjid

Perintah berkenaan dikeluarkan ekoran aduan bahawa kelantangan bunyi pembesar suara menjadi gangguan kepada kanak-kanak dan warga emas.

Para jemaah tawaf sekeliling Kaabah dalam Masjidil Haram di Mekah, tahun lalu. (Gambar AP)
RIYADH:
Menteri Hal Ehwal Agama Islam Arab Saudi semalam mempertahankan perintah yang menghadkan kelantangan bunyi pembesar suara masjid, sebuah keputusan yang dibuat ekoran aduan di negara Islam konservatif tersebut berkenaan bunyi bising yang melampau.

Dalam sebuah dasar utama yang dibuat di negara yang menempatkan tanah suci bagi umat Islam, Kementerian Hal Ehwal Agama Islam berkata, kelantangan pembesar-pembesar suara harus ditetapkan pada tidak lebih daripada satu pertiga daripada paras penuhnya.

Perintah berkenaan, yang turut menghadkan penggunaan pembesar suara kepada hanya laungan azan, bukan menyiarkan khutbah penuh, mencetuskan tentangan di media sosial.

Menteri tersebut, Abdullatif al-Sheikh berkata, perintah berkenaan dikeluarkan susulan aduan mengenai kelantangan pembesar-pembesar suara, yang menjadi gangguan buat kanak-kanak serta warga emas.

“Mereka yang ingin menunaikan solat tidak perlu menunggu azan dilaungkan,” katanya dalam video yang disiarkan di stesen penyiaran nasional.

“Mereka sepatutnya sudah berada di masjid (sebelum masuk waktu solat).”

Beberapa stesen TV turut menyiarkan pembacaan doa dan ayat-ayat suci Al-Quran, kata beliau, menyarankan agar pembesar-pembesar suara digunakan bagi tujuan terhad.

Ramai antara penduduk di negara yang memiliki ribuan masjid itu menyambut baik langkah menghadkan kelantangan pembesar-pembesar suara.

Namun, ada juga yang menzahirkan rasa tidak puas hati di media sosial, dengan tanda pagar yang menyokong larangan memainkan muzik dengan kuat di premis makanan menjadi popular.

Dasar ini menyusul kempen liberalisasi menyeluruh oleh pemerintah de facto Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang memangkin era keterbukaan seiring dengan apa yang dipanggil pemerhati sebagai usaha untuk mengurangkan penekanan terhadap agama.

Baginda turut melonggarkan sekatan dari segi sosial di negara ultra konservatif berkenaan, dengan memansuhkan larangan terhadap panggung wayang dan pemandu wanita, yang telah wujud berdekad lamanya, selain membenarkan kehadiran bercampur antara lelaki dan perempuan di konsert dan acara sukan.

Kelonggaran norma sosial ini disambut baik oleh ramai rakyatnya, yang dua pertiganya berusia bawah 30 tahun, namun ia menjengkelkan golongan konservatif tegar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.