
Walaupun tindakan tegas diambil pasukan keselamatan, tentera Myanmar masih bergelut untuk menguatkuasakan undang-undang setelah menahan Aung San Suu Kyi dan pemimpin kanan partinya, sekali gus mencetuskan protes dan mogok di seluruh negara.
Di selatan Myanmar, penunjuk perasaan anti-tentera mengadakan tunjuk perasaan di Laung Lone, seperti disiar akhbar Irrawaddy di media sosial.
Sementara itu, gambar yang dipaparkan portal berita Myanmar Now menunjukkan
di pusat perdagangan Yangon, sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di daerah Kamayut.
“Ia belum selesai. Kami masih menunggu giliran kami,” antara kata-kata yang tertulis pada plakad yang dibawa seorang penunjuk perasaan.
Konflik tercetus sejak sekian lama antara tentera dan tentera etnik minoriti di kawasan sempadan itu juga berlaku sejak rampasan kuasa.
Militia etnik yang bersekutu dengan kerajaan sivil meningkatkan serangan terhadap tentera, yang bertindak balas dengan senjata berat dan serangan udara, memaksa ribuan rakyat melarikan diri.
Rakaman telefon bimbit yang diperoleh dari seorang penduduk di negeri Kayah yang bersempadan dengan Thailand menunjukkan serangan artileri dari dalam ibukota negara Loikaw ke Demoso, kira-kira 14.5km jauhnya.
Pasukan Pertahanan Rakyat berkata mereka telah menyerang pasukan itu dan berdepan serangan hebat .
Sementara itu, penduduk di Loikaw berkata sekitar 50 pusingan serangan artileri dilancarkan pada Isnin dan enam pada pagi ini.
“Bunyi artileri ini cukup memekakkan telinga kami,” kata seorang penduduk yang enggan dikenali kepada Reuters semalam.
Pertempuran di Kayah telah menyebabkan sekitar 37,000 orang hilang tempat tinggal sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menurut PBB. Ramai yang melarikan diri ke hutan dan memerlukan makanan dan ubat-ubatan.
Pasukan awam, yang hanya berbekal senapang asas dan latihan yang terhad, telah dibentuk di bandar-bandar dan wilayah di seberang Myanmar untuk menentang tentera, serta menyokong Kerajaan Perpaduan Nasional yang disifatkan junta sebagai pengkhianat.
Kumpulan aktivis berkata, pasukan keselamatan telah membunuh 840 orang sejak rampasan kuasa.
Ketua Junta Min Aung Hlaing berkata jumlah korban adalah kira-kira 300 orang, dan menegaskan tidak mungkin akan terjadi perang saudara di Myanmar.