
Myanmar dilanda kekacauan sejak Februari lalu, ketika tentera menggunakan kuasanya untuk menyekat sebarang perbezaan pendapat.
Kumpulan pemerhati tempatan berkata, angka kematian membabitkan orang awam meningkat sekurang-kurangnya 815 orang.
Keganasan itu mendorong gerakan anti-junta sekali gus membentuk apa yang dikenali sebagai “Angkatan Pertahanan Rakyat” (PDF) di kota mereka sendiri. Angkatan ini terdiri daripada orang awam yang menentang pasukan keselamatan menggunakan senjata buatan sendiri.
Hujung minggu lalu berlaku pertempuran di timur Myanmar, terutama di bandar Demoso di negeri Kayah dan di Shan.
Seorang anggota PDF, Thet Wai (bukan nama sebenar) berkata sekurang-kurangnya 20 pegawai polis terkorban Ahad lalu dan pihaknya menawan sebuah balai polis di bandar Moebyel, negara Shan, di timur ibu negara Naypyidaw.
Selain membakar balai polis, pemberontak turut menahan empat anggota pasukan keselamatan, lapor media tempatan.
“Saya fikir hari ini adalah hari penaklukan,” kata Thet Wai, 29, kepada AFP.
“Tetapi saya juga bimbang kerana kami berdepan serangan udara dan kereta kebal. Mereka juga mempunyai senjata yang jauh lebih baik.”
Dia berkata tentera Myanmar telah melancarkan serangan helikopter di Demoso, sebuah bandar di negeri Kayah kira-kira 40km ke selatan.
Seorang lagi pejuang di Demoso berkata sekurang-kurangnya 13 tentera Myanmar terbunuh Ahad lalu, sementara empat anggotanya cedera.
“Kami berhasrat untuk merampas balai polis mereka, tetapi mereka menggunakan serangan udara dan kami juga tidak dapat menyekat trak membawa pasukan bantuan mereka yang mula masuk ke bandar,” katanya.
“Kami perlu berundur.”
Sementara itu, ketua tentera Min Aun Hlaing, yang menyingkirkan pemimpin de-facto Aung San Suu Kyi menerusi rampasan kuasa, diwawancara selama dua jam oleh Televisyen Phoenix Hong Kong. Namun program penuh itu masih belum disiarkan.
Beliau antara lain memberi jaminan kepada pelabur China setelah serangan ke atas kilang-kilang milik negara itu di ibu kota komersial Yangon.
“Warganegara kita tidak membenci China,” katanya. “Itu berlaku kerana politik.”
Suu Kyi tidak kelihatan di khalayak ramai sejak menjadi tahanan rumah.
Dia berdepan berbagai tuduhan jenayah termasuk melanggar sekatan koronavirus ketika kempen pilihan raya tahun lalu dan memiliki walkie-talkie tanpa izin.
Suu Kyi dijangka hadir di mahkamah buat pertama kali hari ini, setelah kesnya ditunda beberapa kali.