
Menurut ketua penasihat perubatan kesihatan, Supriya Sharma, data dari ujian klinikal di Amerika Syarikat (AS) membabitkan lebih 2,000 remaja yang diberi dua dos menunjukkan ia adalah selamat untuk golongan itu sama seperti golongan dewasa.
“Ini adalah vaksin pertama diluluskan di Kanada untuk pencegahan Covid-19 pada remaja dan menandakan tonggak penting dalam memerangi pandemik.
“Ini juga akan menyokong kepada kembalinya kehidupan yang lebih normal bagi anak-anak kita yang mengalami kesulitan sepanjang tahun ini,” katanya dalam sidang media.
Kes Covid-19 tidak direkodkan dalam kalangan remaja yang menerima vaksin. Dalam kalangan orang dewasa pula, malah menunjukkan sekurang-kurangnya 95% berkesan dalam mencegah jangkitan.
Terdahulu, vaksin itu diluluskan pengunaannya pada rakyat Kanada yang berusia 16 tahun ke atas.
Sejak pandemik bermula, kira-kira 20% kes jangkitan direkodkan membabitkan mereka di bawah usia 19 tahun. Setakat Rabu, hampir 1.25 juta orang di negara itu dijangkiti Covid-19 dengan lebih 24,000 dilaporkan terkorban.
Sementara itu, AS dilaporkan akan membenarkan vaksin Pfizer-BioNTech untuk digunakan pada remaja berumur 12-15 tahun minggu depan.
Pengeluar lain dari empat vaksin yang dibenarkan di Kanada – AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna – sedang menjalankan atau merancang kajian mereka sendiri terhadap kanak-kanak seawal usia enam bulan.