
KRI Nanggala-402 buatan Jerman ditemui terbelah sekurang-kurangnya kepada tiga bahagian di dasar laut pada Ahad, empat hari selepas terputus hubungan ketika bersiap untuk melakukan latihan torpedo.
Waris yang bersedih berkumpul di pantai Bali pada Isnin untuk memberi penghormatan terakhir kepada anak kapal yang terkorban, sambil mendesak pihak berkuasa untuk membawa naik mayat keluarga mereka dari dasar laut.
Pakar berkata tugas untuk mengeluarkan kapal selam ke permukaan dari perairan dalam, memerlukan peralatan penyelamatan khusus serta agak mencabar.
Jurucakap angkatan laut Indonesia berkata operasi mengeluarkan bangkai kapal selam masih dibincangkan dengan pakar dan badan antarabangsa.
“Kami akan menganalisis gambar dan video dasar laut, arus, dan lain-lain untuk menentukan teknologi yang akan digunakan,” kata Laksamana Pertama Julius Widjojono.
Imbasan sonar mengesan sekurang-kurangnya tiga bahagian kapal selam pada kedalaman 850m, jauh dari jarak selaman asal Nanggala.
Waris kepada anak kapal I Gede Kartika berkumpul di Celukan Bawang di pantai utara Bali pada Isnin. Sebahagian membawa setanggi dan bunga sambil memegang gambar korban yang lengkap berseragam. Waris lain pula bersampan ke laut untuk menabur kelopak bunga ke air.
“Kami telah menyerahkan anak kami kepada kerajaan. Sekarang dia telah gugur dalam operasi ini, kami berharap kerajaan akan mengembalikan jenazahnya kepada kami setelah semua upacara rasmi selesai,” kata Wayan Darmanta, bapa saudara seorang anak kapal.
Anggota keluarga seorang lagi anggota yang terkorban turut berkumpul di bandar pelabuhan Banyuwangi, pangkalan tentera laut di pulau Jawa di mana Nanggala berpangkalan, untuk memberi penghormatan.
Presiden Joko Widodo turut mengucapkan takziah kepada waris dan berjanji akan membiayai pendidikan anak-anak mangsa yang terkorban.
Usaha mencari dan menyelamat antarabangsa yang melibatkan pesawat dan kapal tentera laut khusus, termasuk dari Singapura, Australia dan AS, bekerja keras mencari kapal selam malang itu dengan harapan ia masih kukuh sebelum kehabisan oksigen.
Namun pada Ahad, ketua tentera Indonesia Marsekal Hadi Tjahjanto mengesahkan bahawa Nanggala telah tenggelam mengorbankan semua anak kapal.