Wanita Texas dengan gejala darah beku dimasukkan ke hospital selepas disuntik vaksin J&J

Wanita Texas dengan gejala darah beku dimasukkan ke hospital selepas disuntik vaksin J&J

Wanita itu mengalami gejala serupa dengan enam pesakit lain yang mengambil suntikan sama di AS.

Agensi kesihatan AS mengesyorkan untuk menghentikan penggunaan vaksin suntikan tunggal J&J minggu lalu berikutan kes darah beku dialami enam individu. (Gambar AP)
TEXAS:
Seorang wanita yang menerima vaksin Covid-19 Johnson&Johnson dimasukkan ke hospital selepas menunjukkan gejala serupa dengan enam pesakit lain yang mengalami darah beku baru-baru ini selepas mengambil suntikan itu di AS, kata jurucakap agensi kesihatan Texas pada Khamis.

Kejadian itu berlaku ketika penasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) dijangka bertemu pada Jumaat bagi mempertimbangkan sama ada suntikan vaksin J&J Covid-19 selamat untuk diteruskan dan pegawai kesihatan kanan AS bersiap sedia untuk memberi lampu hijau.

Agensi kesihatan AS mengesyorkan untuk menghentikan penggunaan vaksin suntikan tunggal J&J minggu lalu berikutan kes darah beku yang jarang berlaku dialami enam individu. Setakat ini sekitar 7 juta orang telah menerima suntikan vaksin tersebut di AS.

Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Negeri Texas berkata CDC telah memberitahu agensi negeri mengenai kejadian itu pada Rabu dan tidak dapat berkongsi maklumat lanjut untuk melindungi privasi pesakit.

“Pesakit adalah seorang wanita dewasa yang dirawat di hospital setelah menerima vaksin J&J dengan gejala yang nampaknya konsisten dengan enam kes yang dilaporkan di tempat lain minggu lalu,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan di emel.

Akhbar Austin American-Statesman, yang pertama melaporkan kejadian itu, berkata pihak berkuasa persekutuan sedang menyiasat kes tersebut.

“Penting untuk diingat hanya kerana sesuatu insiden dilaporkan tidak semestinya ia disebabkan oleh atau dikaitkan dengan vaksin,” kata Pesuruhjaya Bersekutu bahagian agensi kesihatan Texas untuk penyakit berjangkit, Imelda Garcia, ketika dipetik sebagai berkata oleh akhbar itu.

Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) berkata pada Selasa ia menemui kemungkinan hubungan antara vaksin J&J dan masalah darah beku yang jarang berlaku pada orang dewasa yang menerima suntikan di AS.

Tambahnya, bagaimanapun faedah suntikan satu dos itu melebihi risikonya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.