
Peguam Arlette Schijns bercakap pada prosiding awal dalam perbicaraan terhadap tiga rakyat Russia dan seorang warga Ukraine yang didakwa terlibat menembak pesawat dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 yang mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal Boeing 777 itu.
Tidak seorangpun daripada suspek terbabit berada di mahkamah dan prosiding dilakukan tanpa kehadiran mereka.
“Tiada nilai pampasan yang dapat meredakan kehilangan dialami ahli keluarga ini. Namun pampasan sekurang-kurangnya satu cara mengiktiraf kesengsaraan dialami, selain menawarkan sedikit rasa keadilan,” katanya kepada hakim seperti dipetik Associated Press.
Katanya, kira-kira 90 ahli keluarga mahu membacakan kenyataan mereka ketika perbicaraan induk kelak, yang dijangka bermula pada Jun.
Selepas siasatan menyeluruh dilakukan penyiasat selama beberapa tahun, pendakwa mendakwa empat suspek – warga Russia, Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov, serta rakyat Ukraine Leonid Kharchenko — dengan berbilang tuduhan bunuh.
Menurut pendakwa, pesawat itu meletup di udara akibat dibedil sistem peluru berpandu BUK yang dibawa ke Ukraine dari pangkalan tentera Russia. Russia menafikan sebarang pembabitan dalam kejadian itu.
Schijns berkata, jumlah pampasan bagi setiap ahli keluarga adalah sekitar 40,000-50,000 euro (RM 197,631-246,972) bergantung kepada hubungan mereka dengan mangsa.
Katanya, mengikut undang-undang sivil, ramai ahli keluarga tidak layak menuntut pampasan, contohnya adik-beradik yang tidak tinggal bersama mangsa ketika nahas itu berlaku.