Penembak di masjid NZ fail semakan syarat hukuman penjara, status pengganas

Penembak di masjid NZ fail semakan syarat hukuman penjara, status pengganas

Brenton Tarrant ialah satu-satunya individu di New Zealand yang diberikan status pengganas.

Brenton Tarrant dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol atas pembunuhan 51 orang dan cubaan membunuh 40 yang lain. (Gambar AP)
WELLINGTON:
Penembak yang membunuh 51 orang di New Zealand pada 2019 memfailkan permohonan semakan terhadap syarat hukuman penjaranya dan statusnya sebagai “entiti pengganas”.

Brenton Tarrant dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol pada Ogos lalu kerana membunuh 51 orang dan cubaan membunuh 40 yang lain di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac 2019, tembakan rambang terburuk dalam sejarah negara itu.

Tarrant, warganegara Australia, ialah satu-satunya individu di New Zealand yang diberikan status pengganas.

Pihak berkuasa mahkamah New Zealand berkata, semakan kehakiman itu akan diadakan di Mahkamah Tinggi Auckland pada Khamis untuk menjelaskan isu yang mahu dibangkitkan Tarrant.

Maklumat awal yang diberikan kepada pegawai mahkamah menunjukkan Tarrant memohon mahkamah mengkaji semula keputusan Jabatan Penjara mengenai syarat hukuman penjaranya serta statusnya sebagai “entiti pengganas” di bawah Akta Penindasan Keganasan.

Mahkamah berkata, pendengaran itu tidak akan mempengaruhi keputusan kes jenayah terhadap Tarrant, atau sabitan dan hukumannya.

Rekod mahkamah menunjukkan Tarrant akan mewakili dirinya.

Waris dan mangsa terselamat dimaklumkan mengenai pendengaran itu pada Rabu. Ia tidak akan dibuka kepada orang awam, tetapi media dibenarkan hadir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.