1 pesakit AS maut, 1 lagi kritikal selepas terima vaksin J&J

1 pesakit AS maut, 1 lagi kritikal selepas terima vaksin J&J

Keseluruhannya, enam wanita berusia 18 hingga 48 tahun mengalami pembekuan darah di otak yang jarang berlaku dengan platelet darah rendah antara enam hingga 13 hari selepas disuntik vaksin itu.

(Gambar AP)
WASHINGTON:
Seorang pesakit di Amerika Syarikat meninggal dunia akibat komplikasi pembekuan darah selepas menerima vaksin Johnson & Johnson Covid-19, manakala seorang lagi dalam keadaan kritikal, kata saintis kanan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA).

Keseluruhannya, enam wanita berusia 18 hingga 48 tahun mengalami pembekuan darah di otak yang jarang berlaku dengan platelet darah rendah antara enam hingga 13 hari selepas disuntik vaksin itu.

“Satu daripada kes itu maut, dengan seorang lagi pesakit dalam keadaan kritikal,” kata Peter Marks ketika dihubungi wartawan.

Marks mengaitkannya dengan gangguan sama yang dilaporkan di Eropah selepas orang menerima vaksin AstraZeneca, yang juga menggunakan teknologi vektor adenovirus.

Penyakit itu dianggap berpunca daripada tindak balas imum jarang berlaku terhadap vaksin yang menyebabkan pembekuan darah.

Anne Schuchat, pegawai kanan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit, berkata risiko sangat rendah untuk orang yang menerima vaksin sebulan atau lebih lama.

“Bagi mereka yang baru menerima vaksin dalam dua minggu lalu, mereka sepatutnya berhati-hati terhadap sebarang simptom.

“Jika anda menerima vaksin dan mempunyai sakit kepala teruk, sakit di bahagian perut, kaki atau semput, anda patut hubungi penyedia penjagaan kesihatan anda.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.