
Berikutan pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan Myanmar kian memuncak dan jumlah korban yang ramai, warga Singapura buat masa ini dinasihat menangguhkan semua perjalanan ke Myanmar.
“Warga Singapura yang memilih untuk kekal di Myanmar dinasihatkan sentiasa duduk di rumah dan mengelakkan perjalanan tidak penting, terutama ke daerah berlaku tunjuk perasaan,” kata jurucakap kementerian itu.
Media melaporkan protes berskala besar diadakan di beberapa kawasan dan bandar di Myanmar, selepas tentera merampas kuasa 1 Feb lalu.
Rabu adalah hari paling berdarah di Myanmar dengan sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh ketika pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.
Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin parti Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) masih dikenakan tahanan rumah.
Junta mengisytiharkan perintah darurat selama setahun dan berikrar akan “mengambil tindakan” terhadap tuduhan penipuan undi pada pilihan raya umum 8 Nov 2020 yang dimenangi NLD.