
“Pada peringkat nasional, ketika ini, saya menjangkakan pertumbuhan sederhana pada suku keempat tahun lalu, sebelum pertumbuhannya ketara perlahan pada suku pertama tahun ini, malah kemungkinan juga pertumbuhan negatif,” kata Presiden Bank Rizab Persekutuan Philadelphia, Patrick Harker dalam acara maya anjuran Philadelphia Business Journal.
“Berita baiknya, kelemahan itu mungkin sementara kerana kita semua berharap vaksinisasi COVID-19 akan lebih meluas,” katanya.
Namun pergerakan vaksinisasi di Amerika Syarikat “setakat ini sangat mengecewakan,” kata Harker.
“Kurang daripada lima juta orang telah menerima dos pertama vaksin, iaitu belum mencecah 2% daripada jumlah penduduk kita,” katanya.
Harker juga berkata, pakej bantuan AS$900 juta yang diluluskan Kongres baru-baru ini akan membantu meningkatkan ekonomi AS, apabila ia “mula kelihatan lebih normal” pada separuh kedua 2021.
“Pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) perlu kukuh pada separuh kedua tahun ini, dan hingga 2022, sebelum menguncup sedikit pada 2023,” katanya.
Harker membuat kenyataan itu kerana pemulihan ekonomi AS kehilangan momentum berikutan lonjakan kes baharu COVID-19 di seluruh negara dalam beberapa bulan terakhir.
“Walaupun jumlah jangkitan dan kematian menurun pada bulan-bulan yang lebih panas, kes kembali meningkat sejak Sept.
“Jumlah kematian lebih tinggi berbanding semasa gelombang pertama COVID-19 musim bunga lalu,”katanya.
Kematian akibat COVID-19 AS melepasi angka 364,000 pada Khamis petang, dengan jumlah kes nasional mencecah 21.4 juta, menurut Johns Hopkins University.