Julian Assange dinafikan ikat jamin

Julian Assange dinafikan ikat jamin

Mahkamah di Britain tolak permohonan pengasas WikiLeaks kerana bimbang akan cuba melarikan diri.

(Gambar AFP)
LONDON:
Pengasas WikiLeaks Julian Assange gagal mendapat ikat jaminan selepas seorang hakim beranggapan wujud risiko beliau cuba melarikan diri sementara Amerika Syarikat sekali lagi cuba mendapatkan perintah ekstradisi terhadapnya.

Assange, yang menghabiskan lapan tahun lalu sama ada di kedutaan Ecuador di London atau di dalam penjara, memohon dibenarkan ikat jamin selepas mahkamah pada Isnin lalu memutuskan dia tidak boleh diekstradisi kerana berisiko membunuh diri.

“Saya berpuas hati sekiranya Assange dilepaskan hari ini, berkemungkinan dia tidak akan menyerah diri kepada mahkamah untuk menghadapi prosiding rayuan (kes ekstradisi) kelak,” kata Hakim Vanessa Baraitser.

“Kes Assange belum selesai… keputusan rayuan kes ini masih belum diketahui.”

Jabatan Kehakiman AS berkata akan terus berusaha mendapatkan perintah ekstradisi terhadap Assange bagi 18 tuduhan jenayah melanggar undang-undang risikan dan berkomplot menggodam komputer kerajaan.

Teman wanita Assange Stella Moris menyifatkan keputusan hakim hari ini mengecewakan dan menggesa Amerika Syarikat memaafkan Assange. WikiLeaks berkata akan memfailkan rayuan berhubung isu jaminan.

Penyokong Assange, 49, menyifatkan warga Australia itu sebagai wira kerana mendedahkan apa dianggap penyalahgunaan kuasa oleh Amerika Syarikat. Bagaimanapun, ada yang menanggapnya individu berbahaya yang meremehkan isu keselamatan, malah tidak menganggapnya sebagai wartawan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.