PKPB hanya di mukim Klang, bukan seluruh daerah, kata Ismail

PKPB hanya di mukim Klang, bukan seluruh daerah, kata Ismail

Beliau turut mengumumkan perubahan SOP dengan restoran dibenarkan beroperasi hingga 10 malam.

Ismail Sabri Yaakob.
PETALING JAYA:
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menjelaskan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Klang esok hanya bagi kawasan mukim sahaja bukan seluruh daerah.

Beliau turut mengumumkan beberapa perubahan dalam SOP PKPB di Klang dengan restoran dibenarkan beroperasi hingga 10 malam.

“Bagaimanapun, kerajaan masih berbincang dengan kerajaan Selangor mengenai kawasan dan lokaliti yang terlibat dan akan mengumumkan selepas ia ditentukan,” katanya pada sidang media disiarkan secara langsung di Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi memastikan kegiatan ekonomi, bekalan barangan dan makanan tidak terjejas, kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti ekonomi beroperasi di PKPB Klang dengan syarat baharu.

“Antaranya pasar borong bermula 4 pagi hingga 2 petang, pasar biasa bermula 6 pagi hingga 2 petang dan pasar tani bermula 6 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya.

Ismail berkata, bagaimanapun operasi pasar malam tidak dibenarkan.

Katanya, kedai makan, gerai dan warung boleh dibuka tetapi terhad dari 6 pagi hingga 10 malam.

“Hanya untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta ‘take away’sahaja,” katanya.

Katanya, pengangkutan awam seperti bas, teksi termasuk e-panggilan dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 12 malam dan kerajaan juga bersetuju Pelabuhan Klang beroperasi seperti biasa.

“Senarai lebih terperinci kegiatan ekonomi yang dibenarkan dan tidak dibenarkan akan diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dalam masa terdekat.

Ingkar PKPP

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata polis menahan 420 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Katanya, daripada jumlah itu seramai 380 individu dikompaun, 39 direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk penjarakan fizikal (145), tidak memakai pelitup muka (117), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (96), aktiviti di pusat hiburan (26), keluar rumah di kawasan PKPB tanpa alasan munasabah (26), premis beroperasi lebih masa (6), bekerja tanpa permit yang sah (3) dan menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah (1),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.