
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata, sehingga 12.30 tengah hari tadi, pencemaran masih lagi dikesan dengan sampel air adalah 8 TON (ukuran kadar bau) di Bukit Tampoi dan 9 TON di Sungai Semenyih.
Sungai Semenyih merupakan sumber air mentah bagi kedua-dua loji itu, di mana bacaan TON pada 7.30 pagi adalah 5 di Bukit Tampoi manakala 7 di Sungai Semenyih.
LRA hanya boleh beroperasi apabila pencemaran mencapai 0 TON.
“Air Selangor menyarankan pengguna untuk mengambil bantuan bekalan air alternatif di pili awam kerana bantuan melalui lori tangki air diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Suhaimi berkata, LRA di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan, mencatatkan bacaan 18 TON.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata sumber pencemaran itu dikesan berada pada jarak 30km dari LRA Sungai Semenyih di Sungai Batang Benar.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya kerana kedua-dua loji itu dihenti tugas selama 20 jam.
Katanya, henti tugas itu menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 274 kawasan terjejas di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.