
UEM Group merupakan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad.
Bursa Malaysia mengumumkan lembaga pengarah UEM Sunrise terima surat itu pada 2 Okt, mencadangkan penggabungan menerusi pertukaran saham dan waran.
Eco World kemudian akan nyahsenarai daripada Bursa Malaysia.
Dalam surat itu, UEM Group menjangkakan suatu keputusan mengenai cadangan itu menjelang 30 Okt.
Sementara itu, UEM Group dalam kenyataan hari ini berkata cadangan penggabungan ini dijangka akan membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia, dengan unjuran nilai pembangunan kasar RM173.2 bilion dan aset tanah melebihi 17,000 ribu ekar dalam negara.
“Mengambilkira situasi makro-ekonomi mencabar yang dikeruhkan lagi dengan wabak pandemic Covid-19, wujudnya keperluan mendesak bagi syarikat pembangunan hartanah tempatan untuk menambahbaik keutuhan perniagaan masing-masing menerusi perkongsian sumber dan keupayaan bagi memperkukuhkan prestasi serta kelestarian perniagaan mereka dalam jangka masa panjang,” katanya.
UEM Group, yang memiliki 66.1% pegangan dalam UEM Sunrise, telah menerokai kemungkinan penggabungan antara UEM Sunrise dengan beberapa syarikat pembangunan hartanah lain.
“Setelah diperhalusi, potensi penggabungan dengan Eco World dinilai sebagai cadangan yang memiliki manfaat paling besar di mana Eco World merupakan rakan perniagaan paling sesuai yang memiliki keupayaan yang diperlukan bagi membantu menambahbaik UEM Sunrise menerusi kelebihan geografi yang saling melengkapi dan penambahbaikan adunan produk yang mampu ditawarkan,” katanya.
Seandainya semua pihak bersetuju dengan cadangan penggabungan ini, UEM Group berkata ia akan menjadi pemegang saham tunggal terbesar dalam UEM Sunrise yang bersaiz lebih besar ini dengan pemilikan ekuiti sebanyak 43.0%, manakala pemegang saham Eco World akan memiliki 24.2% kepentingan ekuiti.
Di samping itu, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan secara bersama akan memiliki pegangan ekuiti melebihi 50.0%, dan UEM Sunrise akan mengekalkan status penyenaraian di Bursa Malaysia.
“Cadangan penggabungan ini tertakluk kepada perbincangan oleh lembaga pengarah kedua-dua syarikat dan sehinggalah mereka memaklumkan kesediaan untuk membawa perbincangan ini ke peringkat seterusnya, tidak ada jaminan cadangan penggabungan ini akan menghasilkan sebarang perjanjian atau obligasi yang mengikat antara kedua-dua syarikat.
“Seandainya mereka kemudiannya bersetuju untuk memeterai sebarang perjanjian, transaksi ini akan tertakluk kepada, antara lain, persetujuan daripada para pemegang saham dan badan pengawalselia,” katanya.