Bukan orang politik sahaja pulang dari Sabah, kata menteri jawab kritik

Bukan orang politik sahaja pulang dari Sabah, kata menteri jawab kritik

Menteri Kanan Ismail Sabri Yakob berkata, hanya 1% daripada 13,000 orang yang pulang dari Sabah yang disaring didapati positif Covid-19.

Banyak pihak mengkritik pengurusan kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 Sabah yang dikatakan berpunca daripada kluster Benteng, Lahad Datu pada awal September, iaitu 2 minggu sebelum pilihan raya negeri diadakan pada 26 Sept lepas.
PUTRAJAYA:
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob meminta orang ramai tidak hanya menyalahkan ahli politik di sebalik peningkatan kes positif Covid-19 membabitkan individu yang pulang dari Sabah.

“Saya dah maklumkan, mereka yang buat saringan dari Sabah seramai lebih 13,000 orang dan hanya lebih 130 individu didapati positif, iaitu 1%.

“Angka itu campur dengan orang politik, pelancong serta orang awam yang ada tugasan di Sabah. Bukan orang politik semata-mata,” kata beliau dalam sesi soal jawab pada sidang media harian perkembangan terkini perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Pelbagai pihak mengkritik pengurusan kerajaan dalam menangani penularan wabak itu di Sabah yang dikatakan berpunca daripada kluster Benteng , Lahad Datu pada awal September, iaitu 2 minggu sebelum pilihan raya negeri (PRN) pada 26 Sept.

Orang ramai juga meluahkan kekesalan terhadap ahli politik yang dilihat mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 semasa kempen pilihan raya itu.

Sehingga semalam, terdapat 139 kes melibatkan individu yang pulang dari Sabah sejak 20 Sept.

Ia susulan peningkatan 3 digit kes harian wabak itu sejak kebelakangan ini dan munculnya kluster baru di Semenanjung daripada kes indeks yang mempunyai sejarah perjalanan ke daerah zon merah di Sabah, iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

KKM melaporkan sebanyak 287 kes baru Covid-19 semalam, kesemuanya membabitkan penularan tempatan.

Ia adalah angka tertinggi sejak wabak itu menular di negara ini. Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 11,771 kes jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pertikaian awam yang mempersoalkan individu pulang dari Sabah tidak dikuarantin wajib 14 hari, Ismail berkata, tiada keperluan mewajibkan kuarantin ke atas individu yang pulang dari Sabah kerana negeri itu adalah sebahagian daripada Malaysia.

“Perjalanan Sabah ke Semenanjung dikira rentas negeri. Tidak pernah sebelum ini rentas negeri kita kenakan kuarantin wajib 14 hari walaupun dari zon merah.

“Ia berbeza dengan individu yang pulang dari luar negara kerana kita tidak tahu sejarah lokaliti individu tersebut di negara asal,” katanya.

Bagaimanapun Ismail menasihatkan individu yang pulang dari Sabah atau mempunyai kontak rapat dengan mana-mana kes indeks supaya menjalani ujian saringan, selain mematuhi disiplin kuarantin di rumah.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah putuskan supaya mereka yang pakai gelang merah jambu, jika disahkan negatif boleh datang ke klinik kesihatan untuk putuskan gelang berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.