
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed memberitahu pemberita bahawa pada ketika ini 5.6% rakyat negara ini berada di garis kemiskinan dan 40% daripadanya adalah Orang Asli, yang menurutnya merupakan jumlah yang tinggi.
“Kita berpandangan tumpuan harus diberikan dalam bidang pendidikan kerana kalau kita perbaiki pendidikan, maka sosial dan ekonomi akan bertambah baik,” katanya selepas menghadiri seminar berhubung pendapatan garis kemiskinan masyarakat Orang Asli di Kuala Woh, Perak hari ini.
Menurut statistik penduduk Jabatan Kemajuan Orang Asli, bilangan Orang Asli di seluruh negara pada 2010 adalah 178,197 orang.
Mustapa berkata, menjelang Rancangan Malaysia ke-12, kadar kemiskinan dalam kalangan Orang Asli perlu diperbaiki, khususnya dari segi pendidikan.
Menteri itu berkata, “kena ada jihad untuk mengangkat taraf pendidikan Orang Asli”.
“Kalau kita dapat perbaiki lagi prestasi pendidikan, ini cara terbaik,” tambahnya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas lanjut mengenai rancangan membasmi kemiskinan menjelang pembentangan RMK-12, Mustapa berkata, UPE mahu memperkenalkan beberapa dasar baru untuk tujuan itu.
Beliau berkata kerajaan berjuang menangani isu kemiskinan sejak 1971, tetapi “kita masih lagi berhadapan masalah miskin bandar, luar bandar, Bumiputera, Orang Asli, kaum India, dan Cina.”
“Usaha memperkenalkan dasar baru itu memerlukan keberanian dan kesungguhan politik daripada semua pihak,” katanya.