Cuepacs mahu kerajaan benar petugas barisan depan simpan baki cuti hingga 5 tahun

Cuepacs mahu kerajaan benar petugas barisan depan simpan baki cuti hingga 5 tahun

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, kumpulan itu tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan disebabkan tugas atas kepentingan perkhidmatan masing-masing.

Penjawat awam boleh mengumpul baki cuti untuk tempoh 3 tahun dan akan dilupuskan sekiranya tidak dihabiskan selepas tahun ke-3.
KUALA LUMPUR:
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan membenarkan penjawat awam yang bertugas di barisan hadapan mengumpul baki cuti rehat mereka tahun ini sehingga tempoh 5 tahun akan datang.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ini kerana kumpulan itu tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka disebabkan terpaksa bertugas atas kepentingan perkhidmatan masing-masing.

“Peraturan yang ada pada masa ini, penjawat awam hanya boleh mengumpul baki cuti dalam tempoh 3 tahun dan cuti itu akan dilupuskan sekiranya tidak dihabiskan selepas tahun ke-3.

“Jadi untuk tahun ini, kebanyakan penjawat awam yang bertugas di barisan hadapan atau yang terpaksa bertugas ketika pandemik Covid-19 tidak dapat mengambil cuti tahunan.

“Oleh sebab itu kita mohon tempoh baki cuti dipanjangkan sehingga 5 tahun,” kata beliau dalam sidang media di pejabatnya di Menara Cuepacs di sini, hari ini.

Presiden Cuepacs Adnan Mat.

Adnan berkata, perkara itu perlu diberi perhatian susulan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini yang menuntut kumpulan penjawat awam terbabit bertugas.

Cuepacs juga menyeru Bank Negara Malaysia (BNM) agar campur tangan dalam memastikan kadar yuran wakalah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam dikurangkan.

Beliau berkata, penurunan kadar yuran itu perlu berikutan kadar sedia ada dilihat membebankan penjawat awam.

“Cuepacs berpendapat yuran wakalah sedia ada, iaitu 25% masih terlalu tinggi yang terpaksa ditanggung penjawat awam.

“Kita memohon supaya ia dikurangkan kepada 12.5% demi mengurangkan beban penjawat awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.