Tiada ‘pilih kasih’ di semua tabika Kemas, kata timbalan menteri

Tiada ‘pilih kasih’ di semua tabika Kemas, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad berkata, tidak wujud istilah ‘pilih kasih’dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan jika tabika Kemas M40 ditubuhkan.

Jabatan Kemajuan Masyarakat sedang meneliti cadangan menubuhkan tabika untuk kumpulan M40 sebelum dibentangkan di peringkat Kabinet.
KUALA LUMPUR:
Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memberi jaminan tidak wujud istilah “pilih kasih” dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) sekiranya tabika Kemas M40 ditubuhkan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad berkata, ini meliputi modul, bahan pengajaran, kemudahan dan tenaga pengajar, seperti mana yang dilaksanakan di semua premis tabika Kemas pada masa kini.

“Kementerian mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak berkaitan cadangan mewujudkan tabika Kemas untuk kumpulan M40.

Abdul Rahman Mohamad.

“Cadangan ini merupakan usaha kementerian menerusi Kemas dalam membuka peluang kepada ibu bapa berpendapatan M40 menghantar anak-anak mereka bagi menangani isu kuota kemasukan di tabika Kemas sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, tujuan asal pewujudan tabika Kemas adalah untuk menawarkan peluang pendidikan awal bagi masyarakat berpendapatan rendah pada tahun 70-an, namun setelah hampir 30 tahun beroperasi, hasil kajian mendapati jumlah permohonan kemasukan semakin meningkat, khususnya daripada kumpulan M40.

Katanya, cadangan itu bagaimanapun masih di peringkat perbincangan dan kajian di pihak Kemas untuk dibentangkan di peringkat Kabinet bagi mewujudkan tabika Kemas kumpulan M40.

“Pihak kementerian akan mengenal pasti nama tabika Kemas M40 yang sesuai setelah dibentangkan dan mendapat kelulusan Kabinet,” katanya.

Beliau berkata, kementerian yakin masyarakat memandang tinggi keupayaan dan kemampuan dalam pengendalian operasi tabika Kemas sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam menyediakan pendidikan awal kanak-kanak.

“Buktinya, tabika Kemas menerima 2 kali anugerah Jenama Paling Dipercayai dalam Bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak oleh Reader’s Digest pada 2017 dan 2020, yang menunjukkan tabika Kemas adalah pilhan utama ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka mendapat peluang pendidikan awal berkualiti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.