
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Abdul Rahman Mohamad, berkata pengiktirafan itu menjadi simbol komitmen negara terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) serta menjenamakan Malaysia sebagai peneraju agenda itu di peringkat antarabangsa.
“Saya berharap ikrar yang dilafazkan, bukan hanya simbolik, tetapi benar-benar diterjemahkan dalam bentuk komitmen yang padu daripada seluruh pihak baik majikan mahupun pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah KKP Negara 2024 di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA, malam ini.
Pada majlis berkenaan, seramai 29 pemenang terdiri daripada 28 organisasi dan seorang individu menerima pengiktirafan tertinggi atas sumbangan serta inovasi mereka dalam mempertingkat amalan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Abdul Rahman turut menyorot sejarah evolusi keselamatan pekerjaan negara yang bermula sejak 150 tahun lalu ketika sektor perlombongan menjadi asas kepada pembangunan industri tempatan.
Katanya, perkembangan perundangan utama seperti penggubalan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) serta ratifikasi Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 1981 (C155) pada Jun tahun lalu membuktikan keseriusan Malaysia mematuhi piawaian global.
“Evolusi 150 Tahun KKP Negara ini juga menjadi titik tolak untuk kita memperkukuh kerangka KKP negara berteraskan konsep 3K (Kebajikan, Kemahiran, dan Keberhasilan),” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan cabaran baharu dalam landskap pekerjaan seperti perubahan iklim, kesihatan mental, dan Revolusi Industri 4.0 yang memerlukan pendekatan lebih holistik dan adaptif oleh semua pihak.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kesuma, Sutekno Ahmad Belon, berkata Anugerah KKP Negara 2024 menjadi platform pengiktirafan tertinggi kepada organisasi dan individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Sebanyak 257 penyertaan diterima dan hanya 29 pemenang dipilih berdasarkan kecemerlangan prestasi, inovasi serta kepatuhan terhadap piawaian KKP,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa penganjuran anugerah itu selaras dengan ratifikasi Konvensyen C187 (Promotional Framework for Occupational Safety and Health) yang menggalakkan pembudayaan KKP secara menyeluruh di tempat kerja.
Pada majlis sama, turut dilancarkan buku ‘150 Tahun Evolusi Penguatkuasaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Malaysia’, yang mendokumentasikan perjalanan panjang negara dalam membangunkan ekosistem kerja selamat, sejak 1876.
Sutekno berharap memperkukuh amalan KKP dalam usaha membentuk persekitaran kerja yang sejahtera dan mampan.