Pemuda PPBM risau cadangan tabika elit kerajaan

Pemuda PPBM risau cadangan tabika elit kerajaan

Risau ia akan melebarkan lagi jurang antara golongan B40 dan M40.

Pemuda PPBM risau tabika elit akan melebarkan lagi jurang antara B40 dan M40.
PETALING JAYA:
Pemuda PPBM menggesa kerajaan kaji semula cadangan menubuhkan tabika elit, kerana risau ia akan melebarkan lagi jurang antara golongan B40 dan M40.

Ketua Biro Pendidikan, Muhammad Zikri Zulkifli, berkata untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi rakyat terbanyak, “perbezaan pendidikan di antara anak-anak Malaysia tidaklah harus diwujudkan apatah lagi di peringkat pendidikan awal kanak-kanak”.

Pada Selasa, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Abdul Rahman Mohamad, berkata kementerian merancang untuk menubuhkan tabika elit bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), yang menyasarkan golongan M40 dengan yuran bulanan yang lebih tinggi dari tabika biasa.

Satu kertas kerja sedang dirangka berkaitan inisiatif itu, yang akan melihat penambahbaikan dalam kemudahan dan modul pembelajaran.

Pemuda PPBM bagaimanapun berkata lebih baik sekiranya semua 10,900 tabika biasa di seluruh negara dinaiktaraf agar kualiti pendidikan kanak-kanak dapat ditingkatkan secara keseluruhannya.

Zikri berkata bironya akan terus mendalami perkara itu dan mahu bertemu Kemas dan kementerian untuk mendapatkan gambaran penuh mengenai cadangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.