
Hakim Yaacob Md Sam berkata, semua orang yang dituduh mesti dilayan secara adil menurut undang-undang sejajar dengan Perkara 8 perlembagaan persekutuan.
“Kenyataan menyentuh agama harus dielakkan. Adakah mahkamah akan mengambil pendekatan begitu jika yang dituduh bukan orang Islam?” soalYaacob.
Beliau berkata, tiada perbezaan nilai moral sama ada pesalah adalah Muslim atau tidak.
Yaacob, yang bersidang bersama-sama hakim P Ravinthran dan Ahmad Nasfy Yasin, membuat kenyataan itu ketika menolak rayuan untuk menambah hukuman penjara ke atas seorang penganggur yang menjalin hubungan sumbang mahram dengan menantu perempuannya.
Terdahulu peguam Varpal S Sagoo, yang mewakili lelaki berusia 68 tahun itu, berhujah bahawa hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar dalam penghakimannya berkata, sumbang mahram adalah jenayah hina dan dilarang dalam Islam.
Beliau juga berkata persetubuhan sebelum perkahwinan adalah dosa besar dan Islam melarang hubungan sedemikian dengan orang yang tidak boleh dikahwini oleh seseorang.
“Beliau dipengaruhi emosi semasa membuat penghakiman,” kata Varpal, yang membaca petikan daripada penghakiman bertulis itu.
Lelaki tersebut mengaku bersalah mencabul kehormatan wanita berkenaan, yang berusia 34 tahun ketika itu dengan menyentuh payudara di sebuah rumah di Kuala Kangsar antara November hingga Disember 2018.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atasnya.
Lelaki itu juga mengaku bersalah melakukan sumbang mahram dengan wanita itu dalam tempoh yang sama dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 12 kali.
Hukum penjara dijalankan secara berturutan, menyebabkan lekai itu akan dipenjarakan selama 25 tahun.
Lelaki itu juga diperintahkan diletakkan di bawah pengawasan polis selama 2 tahun selepas keluar penjara.
Susulan rayuan, Mahkamah Tinggi di Taiping mengekalkan hukuman penjara kerana mencabul kehormatan, tetapi mengurangkan hukuman penjara kepada 10 tahun dan mengecualikan hukuman sebatan kerana dia berumur lebih 50 tahun.
Ia bermakna dia akan menjalani hukuman penjara 15 tahun mulai hari ditahan pada 2018.
Yaacob berkata, Mahkamah Tinggi adalah tepat dalam pengukuran hukuman kerana kesalahan sumbang mahram membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.
“Kami juga membatalkan perintah orang didakwa diletakkan di bawah pengawasan polis kerana ia tidak mencapai apa-apa tujuan memandangkan dia berusia lanjut pada masa itu,” kata beliau.
Timbalan pendakwa raya Muhammad Azmi Mahsud menjalankan pendakwaan.
Kemudian, panel hakim yang sama menolak rayuan seorang pemilik gerai berusia 66 tahun, Mukhtar Ismail, dan memerintahkannya memulakan hukuman penjara 11 tahun kerana serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak dengan menyentuh bahagian sulitnya.
Dia diikat jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuan terakhirnya hari ini.
Dia melakukan kesalahan itu di belakang sebuah kedai kopi di petempatan Felda di Gua Musang pada 10 Ogos, 2017.
Mukhtar didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Yaacob berkata, panel hakim percaya bahawa keterangan yang dikemukakan oleh kanak-kanak itu boleh dipercayai dan dakwaan bahawa tertuduh dijadikan mangsa adalah tidak berasas.
Timbalan pendakwa raya Nazran Mohd Sham menjalanakan pendakwaan, manakala Mohd Ridzuan Muhamad mewakili tertuduh.